Bubar Parlimen sah ikut perlembagaan

Bubar Parlimen sah ikut perlembagaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pembubaran Parlimen yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin lalu adalah mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Perlembagaan juga memperuntukkan dua keadaan bagi pembubaran Parlimen iaitu berlandaskan nasihat atau permintaan, selain ia akan terbubar sendiri apabila luput tempoh lima tahun dari tarikh mesyuarat sidang pertamanya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Perlembagaan dari Universiti Malaysia Pahang (UMP), Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, Yang di-Pertuan Agong telah menperkenan nasihat Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen dan melihat kepada senario yang berlaku, ia adalah sah walaupun tanpa persetujuan Jemaah Menteri.

“Tindakan saman berhubung pembubaran Parlimen itu akan dipertimbangkan mahkamah tapi asasnya tidak kuat kerana pembubaran Parlimen dibuat atas permintaan dan Agong boleh memperkenankan menurut Perkara 43(4),” katanya di sini semalam.

Penyandang Parlimen Klang, Charles Santiago semalam menfailkan saman pemula terhadap Ismail Sabri, Kerajaan Malaysia dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) susulan pembubaran Parlimen bertujuan menghalang SPR daripada menjalankan Pilihan Raya Umum (PRU).

Berdasarkan salinan saman pemula yang difailkan, Charles menuntut supaya satu deklarasi bahawa kuasa yang terletak pada Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 55(2), Perlembagaan Persekutuan hanya boleh dilaksanakan mengikut Perkara 40(1) dan (1A).

Menjelaskan lanjut, Ahmad Fauzi berkata, permintaan di bawah Perkara 43(4) boleh dibuat oleh Perdana Menteri tanpa merujuk kepada Jemaah Menteri.

Jika sekiranya pembubaran Parlimen dibuat menurut Perkara 55(2), Perdana Menteri boleh menasihati Agong atas sifatnya sebagai Ketua Jemaah Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri.

“Pembubaran Parlimen selama ini tidak pernah dipersoalkan sebagai budi bicara Perdana Menteri. Sebagai ketua ahli Jemaah Menteri, kewibawaan Perdana Menteri sebagai ketua perlu dihormati.

“Jemaah Menteri atau ahli Jemaah Menteri tidak boleh menentang keputusan Perdana Menteri secara terbuka, iaitu di luar bilik mesyuarat. Ahli Jemaah Menteri boleh merekodkan sebarang pandangan berbeza dalam minit mesyuarat atau meletakkan jawatan jika berlaku perbezaan secara prinsip,” katanya.

Ahmad Fauzi berkata, prinsip pelantikan ahli Jemaah Menteri oleh Agong mengikut nasihat Perdana Menteri dan atas nasihat Perdana Menteri, Seri Paduka Baginda boleh membatalkan keanggotaan ahlinya dalam Jemaah Menteri menunjukkan semangat berpasukan dan kepimpinan Perdana Menteri dalam Jemaah Menterinya.

“Sejumlah ahli Parlimen tersebut yang sebahagian besarnya merupakan ahli Jemaah Menteri telah bertindak di luar amalan prinsip ketanggungjawaban jemaah menteri secara kolektif.

“Jika mana-mana ahli Jemaah Menteri yang tidak setuju dengan keputusan jemaah menteri atau Perdana Menteri, secara konvensyennya, dia perlu meletakkan jawatan,” katanya.

Dalam keadaan keutuhan kerajaan sekarang bergantung kepada memorandum persefahaman (MoU) dan boleh jatuh pada bila-bila masa jika berlaku penarikan balik sokongan, maka kata beliau, protes yang dibuat lebih 10 ahli Jemaah Menteri yang merupakan ahli Parlimen boleh disifatkan sebagai undi tidak percaya kepada Perdana Menteri.

Jika dibandingkan pengalaman lepas, jelasnya, Tun Dr. Mahathir Mohamad meletakkan jawatan jemaah menterinya selepas beliau merasakan kehilangan sokongan anggota Dewan Rakyat Pakatan Harapan kepadanya, tanpa membawa usul kepada Parlimen.

Apabila Perdana Menteri sudah hilang kepercayaan menurut Perkara 43(4), beliau tidak lagi boleh memberikan nasihat, sebaliknya hanya boleh mengemukakan permintaan agar Seri Paduka membubarkan Parlimen.

“Seri Paduka mempunyai budi bicara menolak permintaan pembubaran Parlimen dengan menangguhkan perkenan baginda menurut Perkara 40(2)(b).

“Dalam keadaan PM sudah hilang kepercayaan majoriti dan permintaannya untuk membubarkan Parlimen tidak diperkenankan oleh Seri Paduka, maka Perdana Menteri serta ahli Jemaah Menterinya hendaklah meletakkan jawatan,” katanya.

Bagaimanapun, apa yang berlaku adalah Seri Paduka telah memperkenankan pembubaran parlimen dan itu merupakan budi bicara baginda menurut Perkara 43(4). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN