Bisu tidak halang Noor Fatini ke menara gading - Utusan Malaysia

Bisu tidak halang Noor Fatini ke menara gading

NOOR Fatini Aina Md. Noor bersama ibunya semasa sesi kemasukan di Universiti Malaysia Perlis (Unimap) di Pauh Putra, Arau, Perlis hari ini.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Meskipun bisu selepas disahkan hilang suara pada 2013, namun, tidak menghalang Noor Fatini Aina Md. Noor, 24, cemerlang dalam pelajaran seterusnya berjaya menyambung pelajaran sehingga ke menara gading.

Meskipun terpaksa belajar dalam keadaan serba kepayahan sehingga terpaksa menangguhkan sesi persekolahan sehingga bertahun-tahun akibat masalah penyakitnya itu, namun, tidak menghalang anak bongsu daripada dua beradik itu bangkit seterusnya mencapai keputusan cemerlang 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2017.

Noor Fatini salah seorang daripada 1,921 penuntut baharu Ijazah Sarjana Muda Universiti Malaysia Perlis (Unimap) bagi sesi kemasukan 2022/2023 hari ini.

Dia yang bakal mengikuti pengajiannya di universiti tersebut dalam bidang kejuruteraan elektrik hadir mendaftar bersama ibu, Fatimah Abu Khairi,58, dan abangnya.

Fatimah berkata, meskipun tidak boleh bercakap, namun, anaknya itu masih boleh mendengar dan pensyarah serta kawan-kawan banyak membantu semasa belajar.

Katanya, sebelum Noor Fatini hilang suara pada 2013, dia pada mulanya mengadu sakit dada dan pakar juga tidak mengetahui penyakit yang dialami anaknya itu sehingga hilang suara.

“Pada masa itu, sempat juga dia (anak) masuk tingkatan satu selama dua minggu dan kemudian tidak pergi sekolah lama. Sepatutnya Noor Fatini menduduki SPM pada 2015, namun terpaksa tangguh sehingga 2017.

“Alhamdulilah, berkat usaha belajar sendiri, anak saya berjaya dapat 9A dalam SPM tersebut. Di universiti ini, anak saya yang ditempatkan di penginapan bilik mesra orang kelainan upaya (OKU) sentiasa mendapat sokongan semua pihak termasuk semasa belajar diploma sebelum ini di sini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, Unimap merekodkan kemasukan seramai 1,921 pelajar baharu Ijazah Sarjana Muda bagi Sesi Akademik 2022/2023.

Naib Canselor Unimap, Prof. Dr. Zaliman Sauli berkata, mereka yang terdiri daripada 931 pelajar lelaki dan 990 perempuan itu bakal mengikuti Minggu Suai Kenal yang dijadual berlangsung selama satu minggu.

Ujarnya, daripada jumlah tersebut, pelajar dari Kedah adalah paling ramai iaitu 380 orang, diikuti Perak (296) serta 273 dan 272 dari Pulau Pinang dan Selangor bagi mengikuti 36 program pengajian.

“Pada kesempatan ini, izinkan saya menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada ibu bapa dan waris yang memilih Unimap sebagai tempat anak-anak menimba ilmu yang akan pihak Unimap manfaatkan sebaiknya,” katanya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN