IK: Kegiatan haram melombong unsur nadir bumi atau rare earth element (REE) di Hutan Simpan Bukit Enggang di sini dikhuatiri mencemarkan alam sekitar dan sumber air ekoran ia tidak melalui proses kajian Impak Alam Sekeliling (EIA).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pegawai Lapangan Sahabat Alam Sekitar (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, apa jua kerja-kerja tanah akan memberi risiko berlakunya sedimentasi dan hakisan yang menyebabkan sungai menjadi kotor.
Katanya, itu belum mengambil kira proses pengekstrakan REE yang mungkin menggunakan bahan kimia tertentu selain proses pencucian yang menjejaskan kualiti air sungai.
“Memang kita khuatir berlaku pencemaran alam sekitar kerana kalau ada EIA pun kita bimbang, apatah lagi kegiatan haram ini yang sudah tentu tidak melalui proses wajib itu.
PENGUATKUASAAN
“Di sini, timbulnya persoalan dari segi penguatkuasaan jabatan berkaitan kerana difahamkan kegiatan ini sudah lama berlaku,” katanya semalam.
Dalam tinjauan Utusan Malaysia baru-baru ini, terdapat satu saliran panjang dari khemah dipercayai berfungsi sebagai tempat mengurus kegiatan haram terbabit menghala ke kawasan lebih rendah sehingga menghubungkan sebatang anak sungai.
Meor Razak berkata, kerajaan negeri perlu tegas dalam mengambil tindakan terhadap kegiatan itu yang dilakukan di dalam kawasan hutan simpanan kekal (HSK) kerana melanggar undang-undang.
“Apabila berstatus HSK bermakna segala penguatkuasaan dan pemantauan perlu dilakukan oleh agensi yang sepatutnya iaitu Jabatan Perhutanan.
“Sepatutnya, tuan tanah lebih maklum apa yang berlaku sama ada dibuat ladang hutan atau kerja perlombongan sampingan yang sepatutnya awal-awal boleh diambil tindakan kerana kita dimaklumkan laporan pencerobohan itu telah lama dibuat penduduk,” katanya.
Tambah beliau, hasil mesyuarat pengarah-pengarah perhutanan yang diadakan di Ipoh, Perak pada tahun 2021 juga ada membincangkan perkara berkaitan REE dalam HSK iaitu sama ada ia boleh diekstrak atau tidak.
“Mereka dalam mesyuarat itu pun sudah menyatakan dengan jelas bahawa tidak boleh dilaksanakan perlombongan REE dalam HSK kecuali menyahwartakan kawasan itu menjadi tanah milik agensi atau tanah kerajaan untuk mengeluarkan hasil.
“Atau satu lagi cara kena buat pindaan terhadap enakmen berkaitan dengan memasukkan REE sebagai salah satu hasil hutan. Maknanya, ulasan ringkasnya di sini kita nampak kelemahan dari segi penguatkuasaan dan pemantauan apabila berlaku kegiatan haram sedemikian,” katanya. – UTUSAN










