‘Ayo bukan ayaq’: `Saya sembilan tahun ‘taat’ pada Perak - Anwar - Utusan Malaysia

‘Ayo bukan ayaq’: `Saya sembilan tahun ‘taat’ pada Perak – Anwar

ANWAR Ibrahim (dua dari kiri) ketika merasmikan jentera pilihan raya PH Melaka sempena Jelajah Mega Harapan Melaka di Taman Sungai Petai Permai 1, Alor Gajah, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas sindiran ‘ayo bukan ayaq’ yang dibuat penyandang kerusi Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada Jumaat lalu.

Secara berseloroh, Anwar ketika berucap pada Jelajah Mega Harapan Melaka di sini malam tadi berkata, beliau layak untuk bertanding di Parlimen Tambun kerana pernah menetap di Perak selama hampir sembilan tahun.

Kata Presiden PKR itu, tujuh tahun dihabiskan ketika bersekolah di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dari tingkatan satu hingga tingkatan enam, manakala dua tahun lagi adalah semasa dihantar ke Kem Tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Kamunting.

“Ayo dengan ayaq? Itu sahaja? Teranglah apa yang boleh buat dekat Tapah, apa di Perak, apa kojenye (kerjanya)? Saya di Perak ini sembilan tahun. Tujuh tahun di Kolej Melayu Kuala Kangsar, tingkatan satu sampai tingkatan enam. 

“Tujuh tahun, kemudian kerajaan masa itu dia timbang rasa, dia hantar saya ISA Kamunting dua tahun.

“Jadi saya sembilan tahun, sembilan tahun tekun tak pergi mana-mana, sejak ada di Perak tak keluar langsung dalam sembilan tahun itu. Orang lain keluar juga, kadang pergi Melaka, kadang pergi Port Dickson. Ini tak, sembilan tahun dengan tekun taat kepada negeri Perak, tak keluar-keluar,” katanya di Taman Sungai Petai Permai 1 di sini.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Ahmad Faizal menyambut pengumuman Anwar yang bertanding di Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan sindiran bekas Timbalan Perdana Menteri itu merupakan calon luar.

Sindiran itu dimuatkan dalam satu rakaman video berdurasi 26 saat oleh Ahmad Faizal yang mengucapkan selamat datang kepada Anwar, namun mengingatkan Anwar adalah calon luar dengan mengaitkannya dari segi penggunaan loghat tempatan di Tambun yang berbeza dengan tempat lain di luar Perak.

Dalam pada itu, ketika ditemui pemberita dan ditanya mengenai kenyataan dibuat Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad bahawa beliau tidak layak untuk dinamakan sebagai calon Perdana Menteri, Anwar berkata, Abdul Latiff perlu lebih risau berkenaan kerusi yang akan ditandinginya.

“Latiff? Kerusi dia pun belum tentu,” katanya ringkas.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya