Doktor, tokoh bola, profesor 'gasak' Takiyuddin di Kota Bharu

Doktor, tokoh bola, profesor ‘gasak’ Takiyuddin di Kota Bharu

TAKIYUDDIN HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kerusi Parlimen Kota Bharu bakal menjadi ‘tumpuan’ dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) apabila penyandangnya Datuk Seri Takiyuddin Hassan bakal ‘digasak’ doktor perubatan, profesor dan tokoh bola sepak pada 19 November ini.

Doktor yang dimaksudkan itu ialah Ketua Wanita Angkatan Wanita Parti Amanah Negara (Awan) negeri Hafidzah Mustakim mewakili Pakatan Harapan (PH) selepas sah diumumkan sebagai Parlimen Kota Bharu.

Barisan Nasional (BN) hampir pasti mencalonkan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Rosmadi Ismail yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu.

Sementara itu Profesor Datuk Che Musa Che Omar pula dikhabarkan hampir pasti menjadi calon Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) bagi mewakili Gabungan Tanah Air (GTA). Selain itu Parti Rakyat Malaysia (PRM) turut dijangka meletakkan calon bagi merebut kerusi Kota Bharu.

Pada PRU14, Setiausaha Agung Pas itu memperoleh 28,291 undi manakala dua lagi pencabarnya iaitu Datuk Husam Musa (PKR) meraih 22,422 undi dan Fikhran Hamshi Mohamed Fatmi (BN) 16,256 undi.

Berpandukan kepada keputusan dan majoriti 5,869 undi yang diperoleh Takiyuddin, ia meletakan penyandang kerusi Kota Bharu itu berada dalam zon ‘tidak selamat’.

Dr. Hafizah dilihat calon yang mampu memberikan tentangan sengit kepada Takiyuddin kerana cukup aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selain mempunyai sebuah klinik perubatan di Jalan Abdul Kadir Adabi.

Bukan itu sahaja, bekas calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Mas pada PRU14 itu disenangi oleh penduduk Kota Bharu sekali gus memberikan kelebihan kepadanya untuk mencabar Takiyuddin ditambah pula dengan keputusan PRU lalu menyaksikan PH tidak hilang deposit di Parlimen Kota Bharu.

Sungguhpun begitu, kehadiran Rosmadi tidak boleh dipandang ‘lekeh’ oleh jentera Pas dan PH.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu itu bukanlah asing di kawasan Parlimen berkenaan dan pernah bertanding melawan Takiyuddin di DUN Bunut Payong pada PRU 2008 lalu.

Bagaimanapun Dr. Hafidzah atau Rosmadi berpeluang untuk menang jika mereka bekerja keras. Sejarah telah membuktikan BN pernah menang di Parlimen Kota Bharu pada PRU 2004 menerusi calonnya, Datuk Zaid Ibrahim. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN