Aminuddin tak gentar berdepan Anwar, Peja - Utusan Malaysia

Aminuddin tak gentar berdepan Anwar, Peja

AMINUDDIN MD. HANAFIAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Ketua UMNO Bahagian Tambun, Datuk Aminuddin Md. Hanafiah tidak gentar berdepan dua nama besar parti lawan jika dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Aminuddin yang juga Setiausaha UMNO Perak sedia memikul tanggungjawab jika dipilih sebagai calon BN di Parlimen Tambun kerana yakin BN mempunyai kekuatan tersendiri dan kelebihan di kawasan itu.

Menurut beliau, banyak faktor yang memberi kelebihan kepada BN untuk berdepan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan penyandangnya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di Tambun.

JAMINAN

“Saya tidak gentar, kita (BN) sudah lama di sini, ini kawasan kita. Kedua-dua mereka (Anwar dan Peja) hanya besar pada nama tapi belum tentu boleh menang, nama besar bukan jaminan untuk menang.

“Kalau kita lihat pada PRU14, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah (calon BN), merupakan nama besar, seorang menteri tetapi kalah kepada orang baru (Ahmad Faizal). BN yakin merampas Parlimen Tambun kali ini,” katanya ketika dihubungi.

Aminuddin berkata, beberapa faktor lain juga akan menjadi kelebihan kepada BN termasuk suasana dan perubahan pola pemikiran pengundi sekarang yang dilihat amat berbeza pada PRU14.

Beliau berkata, PRU15 dijangka menyaksikan perubahan pola mengundi yang mana pengundi yang sudah merasai kerajaan yang tidak stabil kerana terdiri daripada pelbagai gabungan.

Katanya, untuk itu kali ini pengundi akan lebih bijak membuat pilihan untuk melihat sebuah kerajaan yang stabil.

“Keadaan sudah berubah pada PRU15. Pada PRU14, Peja menang undi DAP dan PKR kerana berada dalam PH, tetapi sekarang beliau tidak lagi berada dalam PH.

“Kami juga kena terima hakikat suasana sudah berubah, selaras dengan perubahan landskap politik negara. De­ngan perubahan-perubahan ini, semua calon ada peluang,” katanya.

Sabtu lalu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Badan Perhubungan UMNO Perak telah mencadang­kan Aminuddin sebagai calon BN di Tambun.

Aminuddin, bekas ADUN Hulu Kinta yang kalah kepada calon PKR, Muhamad Arafat Varisai Mahamad pada PRU14.

Namun setakat ini BN belum mengumumkan secara rasmi calon mereka yang akan bertanding di Parlimen Tambun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×