MELAKA: Sukarelawan ‘Abang Viva’ atau nama sebenarnya, Azwan Omar, 30, mengesahkan bahawa dirinya sah bergelar suami kepada pasangannya, Evanoza Zakaria pada 14 Oktober lalu.
Ketika dihubungi Utusan Malaysia, Azwan berkata, mereka telah dinikahkan di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Ayer Keroh di sini dengan dihadiri ahli keluarga terdekat sahaja.
Jelasnya, majlis yang sepatutnya berlangsung serentak dengan majlis resepsi pada Disember depan diawalkan, selepas mengambil kira beberapa faktor termasuk bagi mengelak berlakunya fitnah.
“Kerana kami banyak menjalankan misi kemanusiaan bersama-sama, jadi kita percepatkan dengan cara lebih mudah.
“Kami telah bernikah di PAID di Ayer Keroh pada 14 Oktober iaitu Jumaat lalu dengan dihadiri ahli keluarga terdekat sahaja.
“Saya dan pasangan juga belum menetapkan tarikh resepsi persandingan kerana khuatir bencana banjir yang dijangka berlaku dalam tempoh Monsun Timur Laut ini,” katanya.
Terdahulu, tular dalam laman sosial sekeping gambar memaparkan Azwan dan Evanoza memakai persalinan akad nikah.
Tambah Azwan, berita baik itu terpaksa dirahsiakan memandangkan mereka perlu menyelesaikan beberapa perkara penting.
“Saya tidak tahu macam mana berita ini bocor, ramai hantar direct message (DM) saya, tanya betul ke sudah kahwin, jadi selepas berbincang dengan isteri, itu yang saya buat Facebook Live malam tadi.
“Saya minta maaf, bukan sengaja hendak merahsiakan, lagi pula perkara baik begini, cuma kami perlukan masa yang sesuai untuk kongsikannya. Kalau sesuai dengan bajet dan saiz dewan, insya-Allah saya ajak semua pada resepsi nanti,” jelasnya. –UTUSAN