4,000 ekor ayam hidup hangus dalam lori - Utusan Malaysia

4,000 ekor ayam hidup hangus dalam lori

BANGKAI ayam yang terbakar dalam kebakaran sebuah lori di Kilometer 10, Jalan Lebuh Raya Timur-Barat, dekat Jeli, Kelantan semalam.-UTUSAN/ IHSAN BOMBA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELI : Kira-kira 4,000 ekor ayam hidup hangus selepas lori yang membawa muatan ternakan itu terbakar di Kilometer 10, Jalan Lebuhraya Timur Barat di sini semalam.

Kemalangan kira-kira pukul 12 tengah malam itu  menyebabkan kerugian sebanyak RM80,000 apabila sebuah lori dan ayam-ayam itu hangus terbakar.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Mohd. Adni Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati, lori muatan ayam itu dipandu seorang lelaki berusia lingkungan 30-an bersama kelindannya sedang dalam perjalanan dari Lumut, Perak.

Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, lori terbabit dipercayai mengalami masalah brek sebelum berlaku kebakaran secara tiba-tiba.

“Pemandu dan kelindan lori tersebut sempat keluar dari lori dan menyelamatkan diri sebelum menghubungi talian kecemasan. 

“Difahamkan, bekalan ayam berkenaan akan dihantar ke Pasir Mas,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mohd. Adni memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 12.15 tengah malam sebelum 10 anggota bersama dua buah jentera bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, anggota bomba mengambil masa 10 minit untuk memadam kebakaran.

“Hanya 200 ekor ayam dapat diselamatkan dalam kejadian itu manakala 4,000 ekor lagi hangus terbakar. Punca kebakaran masih dalam siasatan,” ujarnya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN