TASEK GELUGOR: Pergerakan Wanita UMNO Pulau Pinang telah mengenal pasti calon-calon wanita daripada parti itu yang akan diketengahkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ketuanya, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, nama-nama tersebut termasuk calon daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) seperti MCA dan MIC akan diserahkan kepada pucuk pimpinan untuk diteliti sebelum diputuskan.

Menurut Norliza, calon-calon yang akan diketengahkan itu dipilih berdasarkan beberapa kriteria termasuk daripada pelbagai peringkat umur dan pengalaman politik selepas mengambil kira pencapaian Wanita BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka sebelum ini.
“Sudah tentu saya amat berharap lebih ramai calon wanita (di Pulau Pinang) boleh diketengahkan kali ini (PRU15). Kalau boleh juga, biarlah jumlah itu melebihi 30 peratus iaitu sasaran awal yang kita tetapkan sebelum ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Ketika ini, hanya satu kerusi dimiliki oleh wanita UMNO dan BN di Pulau Pinang iaitu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Berangan yang disandang oleh Nor Hafizah Othman.
Norliza yang juga Naib Ketua Wanita UMNO memberitahu, beliau berharap dapat mengetengahkan seramai mungkin calon wanita untuk kedua-dua kerusi iaitu DUN dan Parlimen khususnya bagi Pulau Pinang.
“Dapat atau tidak (diletakkan sebagai calon), itu merupakan soal kedua, yang penting kita berhasrat untuk ketengahkan calon-calon wanita yang lebih holistik merangkumi calon-calon lain daripada parti komponen BN. Jadi, semestinya ia tidak terhad kepada Wanita UMNO sahaja,” jelasnya.
Dalam pada itu tambah beliau, Wanita UMNO di seluruh negara kini sedang giat melakukan gerak kerja bancian sentimen di peringkat akar umbi.
“Disebabkan berlakunya peningkatan pengundi yang agak besar pada pilihan raya umum kali ini termasuk pertambahan pengundi muda yang ketara, maka kami perlu ‘mendampingi’ mereka untuk melihat bagaimana corak sentimen ketika ini,” jelas beliau. – UTUSAN











