UMNO jangan ikut emosi

UMNO jangan ikut emosi

HASHIM JASIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Pas tidak pernah mengkhianati UMNO dan perkara tersebut terbukti apabila mereka terus mempertahankan Muafakat Nasional (MN).

Malah, langkah Pas untuk turut bersama Perikatan Nasional (PN) adalah untuk mengukuhkan perpaduan ummah bersama parti-parti Melayu Islam.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, Pas tetap dengan pendirian mempertahankan MN meski­pun UMNO telah menutup pintu kerjasama tersebut.

Katanya, usaha menyelamat dan mempertahankan MN itu akan terus dilakukan meskipun sehingga hari penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

GADUH

“Tidak kisahlah UMNO tutup (kerjasama MN) namun Pas tetap membuka pintu. Kalau ikut emosi, kita akan jadi seperti sebelum-sebelum inilah apabila dua parti terbesar orang Melayu Islam terus bergaduh dan bertembung sesama sendiri.

“Pertembungan itu hanya merugikan orang Melayu Islam sendiri dan diharapkan UMNO dapat mengetepikan emosi itu dan melihat dari sudut yang lebih luas demi penyatuan ummah ini.

“Perpaduan ummah ini adalah atas dasar dan tuntutan Islam dan UMNO sendiri juga Islam. Sekali lagi kita ulang, Pas tidak akan tutup kerjasama MN ini,” katanya.

Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, ketika Pas mengulangi pendirian untuk meneruskan kerjasama menerusi MN, UMNO bagaimanapun tidak mempedulikan usaha tersebut kerana Pas secara jelas didakwa telah mengkhianati parti itu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Khaled Mohamed Nordin dilaporkan berkata, pengkhianatan itu berlaku semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, sekali gus menunjukkan Pas tidak ikhlas untuk bersama UMNO.

Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, UMNO perlu bergerak ke depan kerana Pas hanya menawarkan kerjasama politik disifatkan ‘dangkal’ dalam MN.

Kata Ahmad Zahid, kestabilan, keyakinan dan kerjasama dalam MN tidak dapat dijalin, lebih-lebih lagi Pas menjalin hubungan dengan parti yang secara jelas mahu menghancurkan UMNO dari luar dan dalam.

Hashim berkata, masih ramai akar umbi dan sebahagian besar daripada pemimpin UMNO sendiri mahu mempertahankan MN kerana mereka sedar mengenai kepentingan penyatuan ummah ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN