fbpx

Tiga murid dakwa diculik di hadapan sekolah di Gombak

TIADA lagi beg berat ke sekolah jika BN menang PRU15

PETALING JAYA: Hasil siasatan terperinci Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan dakwaan cubaan culik di tiga buah sekolah rendah dalam daerah Gombak baru-baru ini mendapati tiada sebarang perlakuan jenayah dilaporkan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintenden Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, sebanyak tiga laporan berkaitan kejadian itu dibuat oleh ibu bapa pelajar yang berusia antara 32 sehingga 43 tahun pada 27 dan 29 September lalu.

Kata beliau, menerusi laporan berkenaan, anak pengadu masing-masing yang berumur 7 dan 9 tahun mendakwa cuba diculik oleh lelaki yang tidak dikenali semasa berada di luar sekolah.

Jelas beliau, hasil siasatan mendapati ketiga-tiga kejadian berlaku di hadapan sekolah selepas waktu persekolahan tamat di mana keadaan hadapan sekolah pada ketika itu dipenuhi dengan kenderaan bas sekolah serta kenderaan ibu bapa yang mahu mengambil anak masing-masing.

“Pihak polis mengambil tindakan yang sewajarnya dengan mengenal pasti saksi-saksi penting melibatkan beberapa individu termasuk pengadu, rakan sekolah mangsa, pengawal keselamatan sekolah, warden lalu lintas, guru besar dan Yang Dipertua PIBG sekolah serta rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Sekolah Agama Rendah (SAR) KAFA Integrasi At-Tayyibin.

“Namun, kesemua saksi mengesahkan tiada sebarang perlakuan kejadian sebagaimana yang dilaporkan dan ketika kejadian kesemua saksi ini turut berada di lokasi pada masa yang didakwa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Justeru, pihaknya menasihatkan kepada orang ramai serta pengamal media supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita yang tidak sahih yang boleh menggugat ketenteraman awam.

“Orang ramai juga diingatkan agar tidak terpengaruh dengan penyebaran berita palsu dan menularkannya kerana ia boleh didakwa di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” jelasnya.-UTUSAN

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN