Mukadimah
Muafakat Nasional dilihat sebagai solusi terbaik dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), namum ‘berubah arah’ apabila Pas memilih Perikatan Nasional (PN) dinaungi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Ikuti pandangan Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz ketika ditemubual wartawan Utusan Malaysia YATIMIN ABDULLAH dan MUSTAQIM MOHAMED.
Masih ada peluangkah MN diselamatkan menjelang PRU-15?
NIK MOHAMAD ABDUH : Roh MN akan kekal wujud dalam hubungan Pas dengan UMNO. Ia diterima oleh hampir seluruh ahli Pas dan UMNO. Cuma kerana strategi pilihan raya (jadi tidak sependapat), oleh kerana tidak jumpa jalan penyelesaian maka sehingga hari ini (berselisih faham) walaupun ada usaha (memperbaiki hubungan).
Tapi kita tengoklah kerana keputusan akhir adalah pada hari pembubaran (parlimen). Saya jangka segala usaha untuk memperbaiki hubungan dalam MN akan berlangsung sehingga pembubaran Parlimen.
Kemuncaknya, kita tengoklah apa yang boleh dilakukan oleh pimpinan yang sedang berusaha untuk menyatukan suara umat Islam menjadi satu gabungan yang kuat untuk masuk dalam pilihan raya akan datang.
Kenapa Pas pilih PN sedangkan MN dilihat lebih berpotensi besar untuk menang PRU15?
Saya rasa isu ini sudah lama dan sudah bermacam-macam jawapan kepimpinan kedua-dua pihak beri, jadi saya tidak mahu mengulas lanjut.
Pandangan mengenai Muktamar yang dijangka ‘panas’ dengan soal berkaitan MN dan PN?
Saya kira muktamar kali ini akan menumpukan kepada pengarahan-pengarahan terakhir yang akan disampaikan oleh pimpinan parti kepada ahli di seluruh negara.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yasin mahu bekerjasama dengan PH untuk PRU15?
Pas telah buat ketetapan untuk tidak bersama PH pada pilihan raya akan datang. Mengenai keputusan Pengerusi PN itu pihak atasan akan berbincang dan saya tidak mahu komen.
Jika PN pilih bekerjasama dengan PH adakah Pas akan kekal dengan PN?
Dalam PN itu ada Pas, jadi PN tidak akan bekerjasama dengan PH kerana Pas telah buat ketetapan untuk tidak bersama PH. Jadi tidak boleh berlakulah PN bekerjasama dengan PH.
Apa-apa tindakan pimpinan PN akan buat secara bersama. Sebab keputusan sudah ada untuk tidak bersama PH. – UTUSAN