Masalah neurologi boleh jadi punca kemalangan

Masalah neurologi boleh jadi punca kemalangan

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI sebalik kesibukan jalan raya dan kelancaran sistem pengangkutan, jarang dibincangkan secara terbuka mengenai peranan kesihatan neurologi dan psikoneurologi dalam mempengaruhi keselamatan pemanduan.

Pemanduan bukan sekadar kemahiran fizikal tetapi juga aktiviti kompleks yang memerlukan fungsi otak optimum, kestabilan emosi dan keupayaan membuat keputusan dalam masa nyata.

Masalah kesihatan ini seiring peningkatan usia penduduk, kerana ia bukan sahaja menjejaskan fungsi kognitif dan fizikal tetapi turut mengancam keselamatan pemanduan.

Isu ini perlu diberi perhatian serius kerana kelalaian mengenal pasti tanda awal gangguan ini boleh menyebabkan insiden tragik yang sepatutnya dapat dicegah.

Aspek kesihatan dan perubahan tingkah laku individu perlu diberi perhatian dalam menilai kelayakan memandu memandangkan kebanyakan kes melibatkan pekerja berumur bawah 45 tahun dan peningkatan kadar kecederaan dalam kalangan warga emas. Oleh itu, pencegahan kemalangan memerlukan pendekatan bersepadu antara pematuhan perundangan, amalan tempat kerja selamat dan pemantauan kesihatan mental serta neurologi dalam kalangan pemandu.

Gangguan neurologi seperti epilepsi, strok, parkinson dan demensia boleh menyebabkan gangguan terhadap fungsi kognitif, masa reaksi, koordinasi motor dan kesedaran terhadap persekitaran.

Contohnya, seorang pemandu yang mengalami serangan sawan secara tiba-tiba ketika memandu berpotensi kehilangan kawalan ke atas kenderaan.

Selain itu, penyakit seperti demensia mungkin menyebabkan individu keliru dengan arah jalan atau gagal memahami isyarat lalu lintas, lantas menjadikan mereka berisiko tinggi terhadap insiden pelanggaran atau kecuaian jalan raya.

Sementara itu, gangguan psikotik seperti skizofrenia, bipolar atau kemurungan klinikal yang tidak terkawal turut memberi kesan kepada keupayaan menilai situasi dan kestabilan emosi seseorang pemandu.

Individu yang mengalami halusinasi, delusi atau impuls tidak terkawal mungkin mengambil tindakan berbahaya di jalan raya, seperti memandu secara agresif, mengabaikan lampu isyarat atau mengalami episod disosiatif.

Gangguan tidur atau kesan sampingan ubat psikotropik juga boleh mengurangkan tahap kepekaan dan fokus seseorang semasa memandu.

Oleh itu, penting bagi individu yang mengalami gangguan neurologi atau mental untuk menjalani penilaian perubatan secara berkala dan mendapatkan kelulusan profesional sebelum dibenarkan memandu, demi keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain.

Kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mendapati keletihan pemandu menyumbang lebih 20 peratus kemalangan serius di lebuh raya, dengan banyak kes berlaku menjelang waktu subuh atau selepas bekerja dalam tempoh panjang.

Keadaan ini menyebabkan pemandu hilang tumpuan, mengalami tindak balas yang perlahan dan dalam kes kritikal, tertidur seketika ketika memandu (microsleep)– cukup untuk mengorbankan nyawa dalam sekelip mata.

Selain itu, gangguan emosi seperti tekanan perasaan, kemurungan atau marah melampau juga boleh mempengaruhi corak pemanduan secara negatif.

Pemandu yang sedang emosi cenderung bertindak impulsif, memandu laju, melanggar peraturan jalan raya dan gagal menilai risiko dengan rasional.

Penggunaan telefon bimbit, alat pendengar atau paparan digital yang mengalih perhatian juga semakin menjadi faktor bahaya moden di jalan raya.

Tidak kurang pentingnya kerosakan kenderaan, termasuk brek yang tidak diselenggara, tayar botak atau lampu isyarat yang gagal berfungsi – kesemuanya menyumbang kemalangan sedangkan sebenarnya boleh dielakkan.

Dalam konteks ini, setiap nyawa yang terkorban akibat kecuaian atau kegagalan sistem memberi kesan mendalam kepada keluarga dan masyarakat.

Oleh itu, pemantauan berkala terhadap kesihatan pemandu dan keadaan kenderaan, selain pendidikan berterusan tentang pemanduan beretika serta selamat merupakan tanggungjawab kolektif yang perlu dipikul semua pihak.

AMBIL LANGKAH BIJAK
Kesedaran kendiri terhadap tahap kesihatan semasa merupakan langkah pertama dan paling kritikal. Pemandu perlu jujur dalam menilai keupayaan diri sama ada dari aspek daya fokus, reaksi motor, kestabilan emosi mahupun kejelasan mental.

Jika seseorang menyedari adanya gejala seperti kekeliruan, hilang ingatan jangka pendek, kekejangan otot atau episod sawan, mereka bertanggungjawab untuk mendapatkan penilaian perubatan segera sebelum terus memandu.

Melalui langkah ini, risiko kemalangan dapat dikurangkan, bukan sahaja untuk diri sendiri, tetapi juga untuk pengguna jalan raya lain.

Bagi penyakit progresif seperti parkinson atau alzheimer, pemandu perlu bersedia melepaskan lesen memandu secara sukarela apabila tahap ketidakupayaan meningkat.

Dengan kesedaran, ketelusan, sokongan sistem kesihatan serta keluarga membolehkan individu dengan gangguan neurologi masih mampu menjadi warganegara yang bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan jalan raya terus terpelihara.

Pihak berkuasa dan kerajaan memainkan peranan dalam menangani isu ini dengan memperketat proses penilaian kesihatan semasa permohonan dan pembaharuan lesen memandu, terutamanya bagi golongan berisiko seperti warga emas atau mereka yang mempunyai sejarah penyakit neurologi.

Melalui kerjasama dengan Kementerian Kesihatan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) boleh mewajibkan saringan perubatan berkala yang merangkumi aspek neurokognitif dan psikologi, serta mengintegrasikan data kesihatan dengan sistem perlesenan bagi mengelakkan individu yang tidak layak terus memandu.

Penilaian seperti ini perlu disertai dengan garis panduan perubatan yang jelas bagi pengamal perubatan dalam menentukan sama ada seseorang individu masih sesuai untuk berada di jalan raya sebagai pemandu.

Selain itu, kerajaan juga perlu memperluas kempen kesedaran nasional yang memfokuskan kepada hubungan antara kesihatan mental, neurologi dan keselamatan jalan raya.

Pendidikan mengenai tanda-tanda awal gangguan psikoneurologi, serta pentingnya melaporkan atau menasihati ahli keluarga yang berisiko agar tidak memandu merupakan langkah pencegahan yang kritikal.

Di samping itu, penyediaan sistem sokongan seperti talian bantuan, pusat penilaian kesihatan khas untuk pemandu berisiko dan insentif pengangkutan alternatif bagi individu yang tidak lagi sesuai memandu boleh membantu mengurangkan kebergantungan kepada pemanduan peribadi.

Dengan pendekatan menyeluruh dan dasar yang inklusif serta berasaskan bukti perubatan, pihak berkuasa boleh memastikan jalan raya lebih selamat bukan sahaja melalui penguatkuasaan tetapi juga melalui empati, pendidikan dan pencegahan awal.-UTUSAN

 

DR. Fatin Nadzirah Zakaria ialah Pensyarah Kanan (Neurofisiologi), Jabatan Sains Asas, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN