fbpx

Terlepas hukuman gantung sampai mati culik warga emas 

KUALA LUMPUR: Lima lelaki terlepas daripada hukuman gantung sampai mati selepas dituduh menculik seorang pemilik syarikat pengurup wang bagi mendapatkan tebusan sebanyak RM3 juta, di Pulau Pinang enam tahun lalu.  

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Akhtar Tahir sebaliknya menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas  T. Shasitaran, 38; A. Ashokan, 39; Mohd. Sultan Ahmad Kabir, 43; Ong San Chia, 37; dan Yeoh Shyh Ming, 33 selepas mendapati pasukan pembelaan gagal menimbulkan kes prima facie. 

Hukuman itu berdasarkan Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muna Mohamed Jaafar, manakala Shasitaran diwakili peguam K. Thangasvaran; Ashokan diwakili peguam Chew Anthony; Muhamad Sultan diwakili peguam Dev Chander manakala San Chia dan Shyh Ming diwakili peguam Ravi Chandran. 

Hakim Akhtar mempertimbang bahawa kelima-lima tertuduh tidak mendatangkan keganasan melampau terhadap mangsa, Hawaza Najmi yang berusia 66 ketika kejadian culik itu berlaku. 

“Cuma, mangsa telah digari dan cedera di ibu jari selain menghidap penyakit kencing manis, tetapi tiada keganasan melampau seperti dikemukakan pihak pembelaan. Atas dasar itu saya menghukum kesemua tertuduh ini dipenjara seumur hidup,” katanya selepas prosiding di sini hari ini. 

Mahkamah kemudian memerintahkan hukuman tersebut bermula tarikh tangkap pada 2 dan 3 Oktober 2016 manakala kesemua tertuduh dipenjara di Pulau Pinang.

Sebelum ini, perbicaraan untuk pembelaan dijalankan pada 27 Jun 2022 di Pulau Pinang, namun keputusan akhir disampaikan di mahkamah di sini kerana Hakim Akhtar dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Sivil Kuala Lumpur. 

Terdahulu, media melaporkan, kelima-lima tertuduh didakwa melarikan secara salah dan menahan mangsa bagi mendapatkan wang tebusan sebanyak RM3 juta di tepi Jalan Rumbia berdekatan Kristal Garden, Bayan Lepas, kira-kira 10.30 pagi pada 28 September 2016. –UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN