HULU TERENGGANU: Pelancong hutan lipur Air Terjun Sungai Lasir, Tasik Kenyir di sini menggambarkan kawasan pelancongan itu kini ‘indah khabar dari rupa’ apabila air di air terjun itu keruh dan berkeladak.
Para pengunjung mendakwa sebelum sampai, ramai yang teruja untuk menyaksikan keindahan hutan lipur yang terletak di tasik buatan terbesar di Asia Tenggara tersebut.
Pelancong, Shukri Alwi, 54, dari Gombak, Selangor, berkata, kawasan hutan lipur itu sepatutnya dipulihara dengan baik kerana berpotensi untuk menarik lebih ramai pelancong ke tasik ini pada masa hadapan.
Namun, katanya, dia amat kecewa apabila seorang pekerja di rumah bot memaklumkan air terjun tersebut keruh kerana terdapat aktiviti pembalakan di kawasan berdekatan.
“Kawasan hutan berhampiran air terjun yang cantik ini tidak sepatutnya diterokai dengan aktiviti yang boleh merosakan keindahan alam semula jadi,” katanya ketika ditemui di Air Terjun Sungai Lasir baru-baru ini.
Seorang lagi pelancong, Nurul Ainul Ahmad, 35, dari Kuantan, Pahang berkata, dia teruja berkunjung ke kawasan Air Terjun Sungai Lasir ini selepas melihat gambar-gambar lokasi ini yang menarik dengan keadaan air yang jernih dan tenang di media sosial.
Katanya, dia tidak menolak tawaran untuk menyertai rombongan hari keluarga tiga hari untuk menerokai keindahan alam di tasik tersebut.
“Bagaimanapun apabila sampai di sini saya dapati air keruh dan terdapat sisa-sisa kayu yang hanyut dari kawasan hutan berdekatan.
“Hasrat saya mandi-manda sepuas-puasnya di air terjun itu tidak tercapai kerana keadaan air yang keruh.
“Saya pernah datang ke kawasan air terjun ini lima tahun lalu, tetapi airnya jernih dan seronok mandi-manda,” ujarnya.
Sementara itu, Siti Aisyah Adnan, 34, dari Kertih, Kemaman pula berkata, dia pada mulanya percaya keadaan air terjun tersebut keruh disebabkan kepala air tetapi selepas itu dimaklumkan keadaan tersebut berlaku akibat pembalakan di kawasan berdekatan.
“Semua pihak sepatutnya mengambil tanggungjawab memulihara alam sekitar di tasik ini dan tidak membiarkan kawasan Air Terjun Sungai Lasir terus diusik dengan rakus,” ujarnya.- UTUSAN










