Suami isteri mengaku tidak salah aniaya dua anak saudara - Utusan Malaysia

Suami isteri mengaku tidak salah aniaya dua anak saudara

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ampang hari ini atas dua pertuduhan menganiaya dua  anak saudara mereka sehingga menyebabkan dua beradik  itu mengalami kecederaan fizikal.

Tertuduh, Julianah Omar, 34 dan Muhammad Asyari Mohd Alwi, 29, mengaku tidak bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Wan Mohd. Norisham Wan Yaakob.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh didakwa  menganiaya seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun sembilan bulan sehingga mengalami kecederaan fizikal.

Bagi pertuduhan kedua, pasangan tersebut turut didakwa menganiaya seorang kanak-kanak berusia enam tahun sehingga mengalami kecederaan fizikal.

Kedua-dua kejadian itu didakwa dilakukan di Apartment Bella Vista antara bulan Ogos hingga 16 September 2022.

DILAKUKAN

Pendakwaan terhadap tertuduh dilakukan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak di bawah Seksyen 31(1) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Kedua-dua tertuduh diperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Aiza Ali Raman menawarkan ikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin tempatan bagi kedua-dua pertuduhan untuk setiap tertuduh.

Bagaimanapun, peguam  Azlinie Othman dan Nur Hafizah Husna Elahab@Lahab memohon  jumlah ikat jamin dikurangkan antara RM7,000 dan RM8,000.

Ini berikutan tertuduh Julianah hanya suri rumah dan tidak bekerja serta sedang mengandung lima bulan yang memerlukan rawatan secara berkala, pernah mengalami keguguran selain menghidap diabetes dan gout.

Tertuduh Muhammad Asyari pula bekerja sebagai pemandu e-hailing dengan pendapatan  RM1,500 sebulan.

IKAT JAMIN

Mahkamah kemudian menetapkan kedua-dua tertuduh diikat jamin  RM10,000 bagi setiap tertuduh untuk kedua-dua pertuduhan serta syarat tambahan iaitu tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga selesai kes dibicarakan.

Kedua-dua tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga  kes selesai dibicarakan.

Kedua-dua beradik itu kini berada di hospital dan akan diserahkan kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Mahkamah menetapkan 3 November depan bagi sebutan semula kes.

Minggu lalu, media melaporkan polis menahan sepasang suami isteri  selepas disyaki mendera dua beradik yang merupakan anak saudara mereka.

Suspek wanita adalah adik kepada ibu kepada kedua-dua beradik itu. Mangsa-mangsa  sudah dijaga sejak dua tahun lalu selepas bapa kanak-kanak itu meninggal dunia.

Kejadian berkenaan terbongkar selepas  mangsa lelaki cuba melarikan diri dari tingkap sebuah unit kondominium di tingkat empat sebelum dia kemudian diselamatkan orang awam.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya