“Allah sudah beri kemahsyuran waktu filem Mat Kilau, KL Gangster, apa lagi yang saya mahu?”
DEMIKIAN respons pelakon, Datuk Adi Putra, yang beranggapan pada usia mencecah 45 tahun, menjadi popular hingga menciptakan fenomena seperti zaman menyandang karakter Mat Kilau bukan lagi keutamaannya.
Baginya, Allah sudahpun memberikan fasa kemahsyuran padanya sejak dia berlakon sebagai Jai dalam KL Gangster pada 2011 lagi.
Menurut Adi atau Mohamed Hadi Putera Halim, menjadi popular atau kekal relevan sebagai pelakon tidak pernah menjadi keinginannya.
Tambahnya, dia juga seorang ahli perniagaan, maka ada laluan lain yang diberikan Allah untuknya menyara diri dan keluarga.
“Jika mahu mencari semula kejayaan seperti mana Mat Kilau, itu bukan nawaitu saya. Saya juga seorang ahli perniagaan. Tapi saya ambil tawaran sesuatu naskhah contohnya seperti filem Konspirasi yang bercakap tentang rasuah kerana memikirkan suara yang dimahukan penonton yang terdiri daripada semua golongan baik B40 atau melalui naskhah ini.
“Perkara itu yang membuatkan saya rasa bertanggung jawab menggalas karakter dalam filem. Itu lebih penting berbanding mahu mengulangi kejayaan Mat Kilau.
“Saya bersyukur atas kemahsyuran yang Allah pernah berikan baik ketika fenomena Mat Kilau atau KL Gangster. Jika sudah sampai ke tahap itu, apalagi yang saya mahu?,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Bagi Adi, ledakan internet dan media sosial membuatnya banyak berfikir bagaimana mahu melindungi anak-anak daripada jenayah siber yang boleh terjadi pada bila-bila masa. Oleh itu, dia percaya bahawa filem mempunyai kekuatan visual yang cukup kuat untuk memberi kesedaran kepada orang awam.
“Ada banyak jenayah yang berlaku hari ini dengan berita palsu, kecaman, fitnah dan ada juga yang merakam tanpa izin. Jadi, bagaimana kita nak lindungi dan kawal anak-anak daripada semua ini.
“Saya fikir, kita boleh beri pesanan dan paparkan dalam bentuk visual. Itulah yang membuatkan saya terpanggil untuk menyertai barisan pelakon dalam filem konspirasi,” katanya.

Tidak nafi minat bidang politik
Semasa sesi sidang media filem Konspirasi, Adi Putra sempat berjenaka melaungkan ayat ‘tunggu saya jadi YB’. Ditanya adakah pelakon itu sebenarnya mempunyai hasrat untuk bergelar ahli politik, Adi tersenyum.
“Tidaklah ada impian mahu jadi YB, cuma memang minat dunia politik. Cuma manifesto saya bukan sahaja hentikan rasuah tetapi mahu mengadakan satu penyatuan dalam berbilang kaum yang sudah lama kita tinggalkan.
“Sebelum ini pun saya melibatkan diri dalam dunia politik, anda boleh google. Menjadi wakil rakyat bukan iltizam saya. Bagi saya pada tahun 2026, politik seharusnya matang. Kita kena leraikan bukan melakonkan,” katanya.
Walaupun tidak berhasrat menjadi wakil rakyat, namun Adi tidak menolak seandainya Tuhan menyusun takdir yang berbeza untuk dirinya.
“Kalau itu sudah ketentuan, saya akan teruskan. Saya tahu sebab apa saya perlu laksanakan dan pilihan ada di tangan saya. Begitu juga anda, pilihan juga ada di tangan anda. Kita kena fikir dengan akal panjang, bukan pendek,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Adi Putra membawakan karakter Tuan Adli, iaitu pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dalam usahanya membanteras amalan rasuah dan jenayah siber di Malaysia.
Filem arahan Ghaz Abu Bakar, dibintangi pelakon terkenal Adi Putra, Hisyam Hamid dan Alicia Amin itu dijadual ditayangkan di pawagam bermula 21 Mei lalu










