SPRM kurang pegawai penyiasat

SPRM kurang pegawai penyiasat

PENYERTAAN SPRM di dalam Globe Network membolehkan badan penguatkuasaan itu memperoleh lebih pendedahan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membanteras rasuah secara besar-besaran boleh terencat dengan masalah kekurangan pegawai penyiasat.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, ketika ini SPRM mempunyai kira-kira 3,000 kakitangan di seluruh negara, namun daripada jumlah itu hanya 30 peratus atau 900 orang ditugaskan di bahagian siasatan.

“Baru-baru ini saya berjumpa dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, beliau maklumkan suruhanjaya itu kini menfokuskan kepada kes besar dan kes kecil juga diambil tindakan tetapi keutamaan diberikan kepada kes libatkan ketirisan besar.

“Rasuah pada skala kecil biasanya dipanjangkan kepada agensi dan jabatan untuk tindakan tatatertib dan sebagainya. Kekangan ini berlaku disebabkan SPRM kekurangan pegawai penyiasat untuk menyiasat kes rasuah yang banyak di Malaysia,” kata beliau ketika dihubungi semalam.

Menurut beliau, Azam sudah memaklumkan perkara itu sejak 10 tahun lalu dengan agensi itu meminta kerajaan menambahkan pegawai penyiasat bagi menyiasat kes yang semakin meningkat.

“Sekarang ada 3,000 kakitangan dan hanya 30 peratus di bahagian siasatan. Selebihnya pentadbir dan bahagian pendidikan masyarakat. Kalau 30 peratus itu diberikan tanggungjawab untuk siasat semua kes di seluruh negara, saya yakin banyak kes tidak dapat selesai,” katanya.

Jais mengulas punca amalan rasuah di negara ini yang berada pada skala bahaya berdasarkan laporan kepada SPRM, teguran dalam Laporan Ketua Audit Negara dan pelbagai penemuan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Isu rasuah turut mendapat perhatian Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang menyatakan kebimbangan dan menyifatkan amalan itu berada pada skala berbahaya.

Baginda bertitah, semua pihak tidak boleh memandang ringan, leka dan memikirkan justifikasi atau helah mahu menidakkan kewujudan gejala rasuah di depan mata.

Titah Sultan Nazrin, penilaian rasuah wajib dilakukan secara jujur, ikhlas dan serius jika semua pihak serius mahu membendung serta menghapuskan gejala berkenaan di negara ini.

Mengulas lanjut, Jais berkata, beliau difahamkan, SPRM telah membuat permohonan kepada kerajaan untuk menambah sebanyak 10 peratus pegawainya pada setiap tahun namun, yang diluluskan kurang lima peratus.

“Perkara ini sekali gus merencatkan perancangan SPRM untuk membanteras gejala rasuah secara habis-habisan di negara ini, kerajaan juga perlu memberi pertimbangan sewajarnya kepada permohonan suruhanjaya itu demi melihat Malaysia bersih daripada rasuah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN