Serangan jejaskan pendapatan pekebun

Serangan jejaskan pendapatan pekebun

Anggota Perhilitan Terengganu membuat kawalan keselamatan di sekitar tempat seekor gajah yang berjaya ditangkap di Kuala Nerus, Terengganu. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KRAI: Pendapatan penduduk di Kampung Sungai Peria dan Lepan Jenut di sini mulai ‘kering’ selepas kebun mereka diceroboh kawanan gajah liar sejak beberapa bulan lalu.

Kebimbangan penduduk di dua kampung itu semakin memuncak apabila haiwan berkenaan mulai menghampiri rumah penduduk, selain turut bertindak agresif merosakkan tanaman yang diusahakan termasuk pokok getah, kelapa sawit, pisang dan durian.

Bercakap kepada Utusan Malaysia Che Ahmad Termizi Che Haron, 55, dari Kampung Lepan Jenut, berkata, ancaman gajah liar berkenaan menyebabkan penduduk kampung tidak dapat mencari rezeki kerana takut untuk keluar ke kebun masing-masing.

Menurutnya, dia tidak marah dengan kehadiran gajah itu kerana tindakan agresif haiwan itu selepas habitat asalnya diancam kemusnahan hingga akhirnya menceroboh kediaman serta kebun penduduk untuk mencari makanan.

“Kami di sini hanya bergantung sepenuhnya kepada hasil tanaman serta menoreh getah, namun, semua itu tidak dapat dilakukan, malah tanaman juga turut musnah.

“Sekarang ini, kami tidak boleh berbuat apa-apa dan setiap malam terpaksa berjaga dan mengawal keadaan sekitar rumah termasuk membuat unggun api bagi menghalau gajah berkenaan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sementara itu, penduduk dari Kampung Sungai Peria, Mohd. Irwan Awg Mat,36, memberitahu, hampir separuh tanaman kelapa sawit yang diusahakannya sejak setahun yang lalu musnah dan terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM50,000.

Katanya, susulan itu penduduk sudah membuat kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk menghalau haiwan liar tersebut keluar dari kawasan kampung.

“Usaha mereka menghalau gajah berkenaan berhasil, namun haiwan berkenaan kembali semula untuk mencari makanan.

“Kami berharap sangat agar kerajaan negeri dapat mengambil perhatian terhadap isu ini kerana ia melibatkan ketenteraman penduduk, selain perlu menanggung kerugian,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×