SUBANG JAYA: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditungganginya hilang kawalan dalam kejadian di Jalan Taman Tasik Prima ke arah Bukit Puchong, Rabu lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, satu laporan diterima Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya mengenai kemalangan jalan raya membabitkan motosikal Yamaha 135LC.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, motosikal ditunggangi lelaki berusia 20 tahun itu dikatakan cuba mengelak kereta sebelum hilang kawalan.
Kata beliau, akibat daripada itu, motosikal berkenaan melanggar pembahagi batu tepi jalan di sebelah kiri.
“Mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital, Khamis lalu.
“Siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca dan sebab kematian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Azlan berkata, sesiapa yang melihat atau berada di tempat kejadian, mohon tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor K Ratnacristinavany di talian 017-9074893 bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.-UTUSAN