KUALA LUMPUR: Semua rundingan antara UMNO dan Pas perlu dilakukan secara ‘terang’ dengan setiap daripadanya mesti diputuskan parti itu dan dijalankan secara rasmi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, rundingan yang didakwa itu berkemungkinan pertemuan kedua-dua pemimpin yang dianggap tidak rasmi, namun tidak menjadi keputusan kepada UMNO.
“Rundingan mestilah secara terang dan siapa pun berunding perlu diputuskan oleh parti. Apa-apa pun rundingan yang mahu dijalankan mesti secara rasmi dan diputuskan oleh UMNO.
“Tetapi mungkin perbincangan itu kita tak boleh nak sekat sesiapa (kerana) siapa pun boleh bertemu dengan rakan-rakan dalam kalangan Pas untuk berjumpa dan berbincang.
“Namun, rundingan hanya boleh menjadi sah dan menjadi dasar parti apabila diputuskan oleh parti. Parti mesti memutuskan siapa wakil parti yang sah untuk berunding, kalau pergi sendiri-sendiri itu tidak boleh dianggap sebagai mewakili parti,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2022 di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa (MITEC) di sini, hari ini.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam sidang akhbar selepas perasmian Muktamar Tahunan Pas Ke-68 di Kompleks Pas Kedah di Alor Setar, Kedah sebelum ini berkata, rundingan antara UMNO dan Pas ketika ini masih berjalan melibatkan pimpinan kedua-dua parti hingga ke peringkat akar umbi.
Ahli Parlimen Marang itu turut mendakwa, UMNO bukan hanya diwakili oleh presiden parti itu seorang tetapi melibatkan sebuah organisasi.
Bagaimanapun, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan, tiada sebarang rundingan oleh mana-mana kepemimpinan UMNO dengan Pas seperti didakwa Abdul Hadi.
Malah Mohamad juga tidak mengetahui siapakah individu daripada UMNO yang dimaksudkan oleh Presiden Pas sedang menjalankan rundingan dengan parti tersebut.
Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata, rundingan dengan Pas terhadap 27 kerusi Parlimen yang disifatkan kritikal bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah satu cadangan yang perlu diberi pertimbangan.
Beliau berkata, ia bagi mengelak pertembungan di kerusi-kerusi disifatkan kritikal yang mungkin boleh memenangkan parti pembangkan sekiranya berlaku pertembungan.
“Mungkin Pakatan Harapan (PH) amendapat kelebihan apabila berlaku pertembungan antara Barisan Nasional (BN) dengan Pas sebagai contoh.
“Bagaimanapun, ini satu cadangan dan saya rasa boleh diberikan pertimbangan sebab kalau kita dapat tahu berlakunya pertembungan dengan PH boleh memenangi kawasan itu, jadi kenapa kita mahu beri kemenangan percuma kepada mereka?.
“Namun, apa saja keputusan parti mesti diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO. Kalau ada cadangan seperti itu mungkin boleh dibawa dibincang dalam MT dan kalau bersetuju bolehlah melantik wakil-wakil untuk mengadakan rundingan,” katanya. – UTUSAN