Eswatini akui dapat RM21 juta terima warga asing diusir AS

Eswatini akui dapat RM21 juta terima warga asing diusir AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MBABANE: Eswatini pada Isnin mengesahkan buat pertama kali negara itu menerima lebih AS$5.1 juta (RM21.22 juta) daripada Amerika Syarikat (AS) bagi menerima puluhan warga asing di bawah operasi pengusiran besar-besaran Washington.

Kerajaan kecil di selatan Afrika itu sudah menerima 15 lelaki sejak pentadbiran Presiden AS, Donald Trump membuat perjanjian secara rahsia dengan sekurang-kurangnya lima negara Afrika untuk menerima migran di bawah program pengusiran ke negara ketiga, yang dikritik hebat oleh kumpulan hak asasi manusia.

Dokumen yang didedahkan oleh Human Rights Watch pada September dan diperoleh AFP menyatakan, Eswatini bersetuju menerima 160 warga asing yang diusir sebagai pertukaran dengan dana tersebut bagi membangunkan kapasiti pengurusan sempadan dan migrasi.

Apabila ditanya di Parlimen mengenai perjanjian itu, Menteri Kewangan, Neal Rijkenberg mengesahkan kerajaan sudah menerima jumlah tersebut.

“Kami dimaklumkan ia untuk penerimaan masuk migran yang diusir AS selepas kami membuat pertanyaan. Kementerian tidak dimaklumkan sepanjang proses itu,” katanya.

Kumpulan pertama lima lelaki tiba pada Julai menaiki pesawat tentera AS yang disewa, manakala kumpulan kedua diterima pada awal Oktober.

Washington menggelar sebahagian daripada mereka sebagai ‘penjahat kejam’ yang disabitkan dengan jenayah termasuk rogol kanak-kanak dan pembunuhan.

Mereka kini ditahan tanpa pertuduhan di Pusat Pembetulan Keselamatan Maksimum Matsapha di Eswatini, yang terkenal menahan tahanan politik, menurut peguam mereka.

Seorang daripada mereka, lelaki Jamaica berusia 62 tahun yang dilaporkan sudah menyelesaikan hukuman pembunuhan di AS, dihantar semula ke Jamaica pada September.

Peguam dan kumpulan masyarakat sivil di Eswatini memfailkan tindakan mahkamah untuk mencabar kesahihan penahanan ini.

Rijkenberg memberitahu Parlimen, wang yang diterima daripada AS dimasukkan ke dalam akaun agensi bencana Eswatini, NDMA.

Namun, katanya, NDMA tidak dibenarkan menggunakan wang yang belum diperuntukkan, sambil berjanji untuk menyelaraskan proses itu.

Masih belum jelas siapa dari Eswatini yang menandatangani perjanjian dengan AS.

Dahulunya dikenali sebagai Swaziland, negara ini adalah monarki mutlak terakhir di Afrika.

Ia telah dipimpin oleh Raja Mswati III sejak 1986 dan kerajaan beliau pernah dituduh melakukan pelanggaran hak asasi manusia.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN