Pod dijual terbuka termasuk di kedai makan - Utusan Malaysia

Pod dijual terbuka termasuk di kedai makan

NUR HAZWANI ABDUL WAHI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Orang ramai meminta pihak berkuasa memantau penjualan pod pakai buang vape yang didakwa ditawarkan secara terbuka termasuk di kedai-kedai makan dan restoran.

Ketika ditemui Utusan Malaysia, kakitangan swasta, Nur Hazwani Abdul Wahi, 31, berkata, ia dibimbangi akan melahirkan lebih ramai generasi muda yang terlibat dengan aktiviti tidak sihat sedemikian berikutan peranti itu mudah didapati di pasaran serta murah.

Katanya, kerajaan khususnya perlu memantau dan menyekat penjualan secara terbuka bagi mengelakkan golongan bawah umur membelinya.

Jelasnya, kelompok remaja dilihat mudah terpengaruh terutamanya selepas melihat iklan yang mempromosikan produk berkenaan berleluasa dalam laman sosial.

“Kerajaan harus mempunyai satu mekanisme khusus untuk mengawal lambakan iklan vape seperti lesen khas atau permit kebenaran. Secara tidak langsung pihak berwajib dapat mengawal selia para penjual yang berdaftar.

“Pastikan setiap pemegang lesen mematuhi syarat-syarat penjualan dan jika ingkar, tindakan tegas boleh diambil seperti denda, lesen ditarik balik atau penjara,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Izzat Mailis, 30, pula berkata, syarat penjualan vape perlu diperketat termasuk mengarahkan pengendali platform dalam talian mengeluarkan iklan berkaitan peranti tersebut.

MUHAMMAD IZZAT MAILIS

“Sangat sukar untuk mengawal transaksi pembelian dalam talian kerana semakan status pelanggan seperti had umur tidak boleh dilakukan,” katanya.

Dalam pada itu, Tun Mastura Wan Lokman, 34, berkata, produk vape perlu berdaftar secara sah dengan agensi khusus bagi memastikan kualiti peranti dan kandungannya tidak membahayakan keselamatan orang ramai.

TUN MASTURA WAN LOKMAN

“Ibu bapa dan pihak sekolah pasti resah dengan trend ini kerana pod pakai buang ini begitu mudah didapati. Lebih parah apabila peranti itu sukar dikesan kerana saiznya yang kecil. Justeru, sudah tiba masanya untuk kerajaan mengawal dan mengetatkan penjualannya seperti produk tembakau,” katanya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN