KUALA LUMPUR: Perdana Menteri sekali lagi menegaskan, tiada keperluan untuk membuat sebarang pelantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) dalam pentadbiran Kabinet beliau ketika ini.
Demikian jelas Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika diminta mengulas mengenai keperluan mengadakan perbincangan dengan wakil Perikatan Nasional (PN) berhubung tuntutan jawatan tersebut.
Beliau berkata, ini berikutan status empat Menteri Kanan yang ada kini sudah dianggap mewakili jawatan tersebut dengan keistimewaan yang hampir sama.
“Menteri-menteri kanan ini saya anggap lebih kepada TPM kerana keistimewaan yang diperoleh hampir sama dengan dengan TPM, sudah ada empat Menteri Kanan.
“Saya juga telah perjelaskan kepada wakil PN dua orang iaitu Setiausaha Agung (Datuk Seri Hamzah Zainudin) dan Bendaharinya (Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar) sewaktu berjumpa dengan saya.
“Ia boleh dianggap pertemuan rasmi dan tidak rasmi tapi sama ada rasmi atau tidak, mereka nak dengar pandangan daripada saya,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2022 di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa (MITEC) di sini hari ini.
Menteri Kanan yang terdapat dalam Kabinet hari ini terdiri daripada Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Selain itu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin; dan Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Sabtu lalu, Ismail Sabri menganggap perjanjian beliau dengan PN yang dibocorkan baru-baru ini sebagai cerita lama malah menegaskan perjanjian itu bukan cerita baharu.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, beliau ketika ini cuma ingin memberi fokus kepada pemulihan ekonomi serta isu berkaitan rakyat seperti kos sara hidup yang meningkat dan sebagainya.
“Itu lebih penting sebenarnya daripada isu lain. Fokus utama ialah mengurangkan tekanan kepada rakyat. Saya rasa rakyat lebih memerlukan perkara ini, bukan bincang perkara lain,” jelasnya. – UTUSAN