PETALING JAYA: Kerajaan tidak boleh campur tangan atau merampas tanah pemilikan sendiri atau syarikat atas tujuan ingin menyambung pembangunan seperti projek Plaza Rakyat di Kuala Lumpur yang terbengkalai sejak 25 tahun lalu.
Pensyarah Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Salawati Mat Basir berkata, kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya merampas tanah milik persendirian atas apa tujuan.
Namun, katanya, terdapat beberapa faktor yang membenarkan kerajaan boleh merampasnya seperti pemilik tidak membayar cukai tanah atau tiada pembayaran premium.
“Kerajaan tidak boleh ambil tanah Plaza Rakyat untuk membangunkan semula, kalau tanah persendirian atau tanah milik syarikat yang bukan milik kerajaan memang pihak berkuasa tidak boleh rampas.
“Atas dasar apa mereka nak rampas? Sebab mereka kena ikut Kanun Tanah Negara, hak pemilik memang tidak boleh dirampas melainkan tuan tanah tidak bayar cukai dan sebagainya.
“Sekiranya situasi itu berlaku baru kerajaan boleh rampas, tetapi nak merampas begitu sahaja memang tidak boleh. Sebab itu sekiranya tanah itu dimiliki oleh seseorang atau entiti memang kena dapat persetujuan empunya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Utusan Malaysia kelmarin melaporkan, Plaza Rakyat yang terletak bersebelahan Pudu Raya dirancang menjadi hab pengangkutan dan bangunan ikon di bandar raya ini namun sejak 1997 pembinaannya terhenti dan terbengkalai sehingga kini.
Beberapa struktur menjadi takungan air sehingga dikhuatiri menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes, malah timbul persoalan sama ada ia sepatutnya dirobohkan atau diteruskan pembangunan semula.
Mengulas lanjut, Salawati Mat menegaskan, tiada ruang untuk kerajaan merampas tanah itu atas tujuan pembangunan sekiranya empunya tanah masih membuat bayaran-bayaran tertentu berkaitan tanah tersebut.
“Walaupun tanah itu dilihat berpotensi untuk dibangunkan kerana keputusan akan terletak pada pemilik tanah sendiri. kerajaan memerlukan kebenaran pemilik itu,” katanya. – UTUSAN










