Pesawat pertama mendarat di LTAM 12 September ini - Exco - Utusan Malaysia

Pesawat pertama mendarat di LTAM 12 September ini – Exco

MUHAMMAD JAILANI Khamis memasang Jalur Gemilang pada Program Semarak Gemilang Daerah Melaka Tengah di Villa Sentosa Kampung Morten, Banda Hilir, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Selepas hampir dua tahun tidak beroperasi untuk tujuan komersial, Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), Batu Berendam di sini dijangka menerima penerbangan pertama pada 12 September ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Melaka, Datuk Muhammad Jailani Khamis memaklumkan, pendaratan pertama dari Pekanbaru, Indonesia melalui pesawat Batik Air itu yang akan membawa rombongan kumpulan Wali Kota Pekanbaru seramai 140 orang.

Beliau berkata, ia merupakan penerbangan tiga hala membabitkan Pekanbaru ke Melaka dan seterusnya ke Pulau Pinang.

“Penerbangan itu sepatutnya dijadual pada 12 Ogos lalu, namun terpaksa ditangguhkan sebulan atas sebab-sebab tertentu.

“Difahamkan frekuensi penerbangan laluan tiga hala ini akan membabitkan dua atau tiga penerbangan seminggu.

“Kita berharap jadual baharu ini tidak akan tertangguh lagi kerana misi kerajaan negeri adalah untuk merancakkan kembali sektor pelancongan khususnya menarik kehadiran pelancong antarabangsa,” katanya selepas Program Semarak Gemilang Daerah Melaka Tengah di Villa Sentosa Kampung Morten di sini.

Pada Ogos lalu, Utusan Malaysia melaporkan, LTAM akan kembali beroperasi selepas sepi tanpa penerbangan komersial bermula 12 Ogos 2022.

Batik Air yang sebelum ini dikenali dengan nama Malindo Air akan memulakan operasi penerbangan menggunakan pesawat ATR-72 dari Pekanbaru ke LTAM dengan jadual penerbangan dijangka tiga kali seminggu.

Tambah Muhammad Jailani, selain penerbangan tiga hala itu, pihaknya juga bercadang untuk menambah penerbangan dari negara-negara lain untuk mendarat di LTAM termasuk China dan India.

“Perancangan setakat ini adalah untuk membawa masuk penerbangan dari Surabaya dan Jakarta, Indonesia, selain turut merancang penerbangan terus dari China dan India ke negeri ini,” jelasnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN