Pendakwaan pinda laporan audit 1MDB dijangka tutup kes Rabu

Pendakwaan pinda laporan audit 1MDB dijangka tutup kes Rabu

Nooryana Najwa Najib bersama anaknya, Adam Razak hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, semalam bagi mengikuti kes perbicaraan bapanya. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan dalam kes meminda laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijangka menutup kes mereka Rabu ini.

Pada tarikh tersebut, selepas pendakwaan menutup kes, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan akan menetapkan tarikh pendengaran hujahan daripada pihak-pihak terlibat.

Turut didakwa dalam kes itu ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Arul Kanda Kandasamy yang dituduh bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya tidak dapat menutup kes mereka semalam..

“Selepas memeriksa rekod saksi, kami dapati masih terdapat seorang lagi saksi yang masih belum disoal balas oleh peguam tertuduh pertama (Arul Kanda), Datuk V. Sivananthan.

“Saksi tersebut ialah saksi pendakwaan ke-11, Tan Sri Shukry Mohd. Salleh (Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri pada ketika itu),” katanya.

Tambahnya, peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah telah selesai menyoal balas saksi berkenaan pada prosiding sebelum ini.

Sementara itu, Sivananthan memaklumkan mahkamah bahawa beliau tidak akan mengambil masa lama untuk menyoal balas saksi berkenaan dan pendakwaan boleh terus menyoal semula Shukry pada hari sama.

Ahmad Akram kemudian memaklumkan pihak pendakwaan juga tidak akan mengambil masa lama dan boleh menutup kes pada hari berkenaan.

Pada prosiding semalam, saksi pendakwaan ke-16, Penguasa Kanan SPRM, Haniff Lami memberitahu, selaku Menteri Kewangan, Najib berhak diberi taklimat, memberi cadangan atau pembetulan terhadap laporan audit itu sebelum ia dibentangkan ke Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Ini kerana Najib ketika itu merupakan Menteri Kewangan dan Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) memiliki 100 peratus saham dalam 1MDB.

Walaupun mengakui beliau bukan pakar dalam menyiasat kes berkaitan audit, Haniff ketika disoal oleh Muhammad Shafee membuat kesimpulan bahawa laporan itu dipinda oleh Arul Kanda dan Najib bagi mengelakkan bekas Presiden UMNO itu dikenakan tindakan undang-undang selepas menemubual saksi.

Kesimpulan itu juga dibuat selepas meneliti keterangan bertulis saksi-saksi ketika siasatan dijalankan.

Najib, 69, yang didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dibuat terhadap laporan akhir audit 1MDB yang dimuktamadkan Ketua Audit Negara sebelum laporan itu ‘sekali lagi dimuktamadkan’ dan dibentangkan pada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara.

Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN