Pendakwaan ke atas Zahid bukan terpilih - Pendakwa Raya - Utusan Malaysia

Pendakwaan ke atas Zahid bukan terpilih – Pendakwa Raya

AHMAD Zahid Hamidi tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini untuk meneruskan perbicaraan kes rasuahnya dekat Mahkamah Tinggi, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - FOTO / ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pendakwaan terhadap Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berhubung kes rasuah berjumlah lebih S$13.56 juta membabitkan beliau dengan Syarikat Ultra Kirana Sdn. Bhd. (UKSB) tidak bersifat terpilih. 

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shahruddin Wan Ladin di Mahkamah Tinggi hari ini berkata, pendakwaan terhadap bekas Menteri Dalam Negeri itu adalah tidak sama dengan nama-nama yang didedahkan oleh Saksi Pendakwaan (SP) iaitu Harry Lee Vui Khiun (SP15), Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani (SP16) dan David Tan Suong Sun (SP17). 

Di hadapan Hakim Datuk Mohd. Yazid Mustafa, beliau mendakwa Ahmad Zahid mempunyai hubungan terus dengan UKSB sebagai pemegang portfolio Kementerian Dalam Negeri (KDN) ketika menerima suapan kesemua dana yang dinyatakan dalam pertuduhan. 

“Hujahan kami adalah, dakwaan terhadap penerimaan dana tersebut oleh beliau adalah disebabkan beliau mempunyai kepentingan dalam portfolionya. 

“Saya ingin ketengahkan bukti yang mana tertuduh meminta SP15 dan SP16 untuk membantu parti, bukti SP16 memberitahu mahkamah UKSB tidak akan memberikan dana jika beliau tidak mahu membantu mereka berhubung kontrak dan Ahmad Zahid yang meminta dana tersebut dalam bentuk matawang Dolar Singapura,” katanya dalam hujahan akhir peringkat pendakwaan hari ini. 

Dalam pemeriksaan balas sebelum ini, saksi turut menamakan 12 individu penting sebagai penerima dana iaitu termasuk  Khairy Jamaludin (RM3.7 juta), Datuk Seri Anifah Aman (RM12.02 juta) dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang menerimanya melalui Armizan Mohd. Ali (RM4.29 juta) dan Aminuddin Arif (RM6.1 juta). 

Ditulis

Selain itu, turut disebut ditulis nama dalam lejar milik UKSB ialah Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (sekitar RM200,000 hingga RM300,000), Tun Dr. Mahathir Mohamad (RM2.6 juta melalui Tan Sri Rahmat Abu Bakar, Tan Sri Ong Kah Chuan (RM920,000) dan Tan Sri Chan Kong Choy (RM7.8 juta). 

Tiga lagi ahli politik  Shahril Sufian Hamdan (RM1.162 juta), Tan Sri Muhyiddin Yassin (RM1.3 juta) dan Datuk Seri Mohd. Shafiee Apdal (tidak dinyatakan jumlah).

Bagaimanapun, kesemua yang dinamakan itu menafikan menerima dana daripada syarikat pengendali Visa Luar Negara (VLN) itu dan perkara itu dimaklumkan kepada mahkamah. 

Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob ketika membuka hujahan akhir daripada pasukan pendakwaan menegaskan bekas  Pengarah UKSB, Harry Lee dan Wan Quoris Shah serta bekas Pengurus Pentadbiran David Tan pertama kali berjumpa dengan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13). 

“Kenyataan daripada saksi-saksi berkenaan adalah selari berkenaan penghantaran wang tunai kepada tertuduh. 

“Malah berdasarkan SP15 dan SP16, pertama kali berjumpa dengan tertuduh pada 2013 selepas PRU13 (pada Mei di Hospital Tawakkal) dan beliau dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri. 

“Serentak dalam keterangan mereka menunjukkan tertuduh memerlukan sumbangan kepada dana politiknya. Kedua-dua saksi memahami yang Ahmad Zahid memerlukan bantuan kewangan daripada mereka,” jelasnya. 

Hakim Mohd. Yazid menetapkan prosiding bersambung  esok. 

Mengetuai

Perbicaran bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang bermula pada 24 Mei 2021 dikendalikan Datuk Raja Rozela Raja Toran yang mengetuai pasukan pendakwaan bersama Wan Shaharudin, Abdul Malik, Thavani Balakrishnan dan Zander Lim.  

Pasukan pembelaan pula diwakili Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Datuk Ahmad Zaidi Zainal dan Hamidi Mohd. Noh. 

Ahmad Zahid dalam tujuh pertuduhan didakwa menerima sejumlah wang tunai S$1,150,000; RM3 juta, 15,500 Swiss Franc dan AS$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasminya.  

Dalam 33 pertuduhan lain berjumlah S$13.56 juta, beliau didakwa menerima wang tersebut daripada UKSB sebagai dorongan untuk dirinya melanjutkan kontrak pengendali Perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya