PUTRAJAYA: Pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan ketika menaiki kapal terbang berkuat kuasa serta merta.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, protokol baharu itu dibuat berdasarkan penilaian situasi semasa Covid-19 serta mengambil kira keperluan terkini.
Beliau berkata, bagaimanapun Kementerian Kesihatan amat menggalakkan pemakaian pelitup muka terus diamalkan bagi kumpulan individu yang bergejala seperti demam, batuk dan selsema dan individu berisiko tinggi seperti warga tua, orang dengan penyakit kronik.
Ini termasuk individu dengan imuniti rendah dan ibu mengandung selain individu yang mengembara bersama orang yang berisiko tinggi seperti warga emas dan kanak-kanak.
“Keputusan yang dibuat ini adalah mnggunakan pendekatan berasaskan risiko dan mengambil kira penambahbaikan dalam teknologi kapal terbang dan beban kes Covid-19 di Malaysia yang lebih terkawal ketika ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Khairy berkata, situasi risiko jangkitan dalam kapal terbang lebih terkawal kerana sistem pengudaraan yang baik dalam kabin dan penggunaan penapis high-efficiency particulate absorbing (HEPA) untuk mengeluarkan bahan cemar bawaan udara.
Selain itu, ia turut mengambil kira sistem susunan tempat duduk ke hadapan dan kekerapan penjadualan disinfeksi kapal terbang.
“Kelonggaran ini juga adalah selaras dengan syor kesihatan daripada negara-negara seperti Kesatuan Eropah, United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, New Zealand dan Singapura.
“Keperluan pemakaian pelitup muka di dalam kapal terbang bagaimanapun masih tertakluk kepada syarat yang ditetapkan oleh negara yang dikunjungi,” katanya.
Pada 7 September lalu, Kementerian Kesihatan mengumumkan kelonggaran terhadap keperluan pemakaian pelitup muka di dalam bangunan (indoor) dan memutuskan bahawa pemakaian pelitup muka di dalam bangunan (indoor) adalah atas pilihan (optional). –UTUSAN