fbpx

Ops Tapis 6: tokan dadah antara 3,972 orang yang ditahan

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 3,972 individu ditahan atas pelbagai kesalahan dadah dalam Op Tapis Khas Siri 6 yang dijalankan di seluruh negara pada Isnin lalu hingga semalam.

Menerusi operasi berkenaan sebanyak 739 kawasan diperiksa menerusi operasi itu antaranya Felda, Felcra, projek perumahan rakyat, kawasan perumahan, jeti, ladang swasta dan pangkalan haram yang dikenal pasti.

Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, operasi berkenaan dilakukan bagi mengesan dan menangkap pengedar dadah, memusnahkan sarang penagihan dadah, mengambil tindakan ke atas penagih tegar dan tindakan pencegahan ke atas pengedar dadah yang telah dikenal pasti.

Kata beliau, mereka yang ditahan terdiri daripada 1,856 penagih diikuti  tokan dadah (501 orang) penagih, individu dikehendaki atas pelbagai kesalahan dadah (205 orang) dan lain-lain kesalahan (1,410).

“Kesemua mereka yang ditahan berusia lingkungan 14 hingga 70 tahun dan akan disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(2), Seksyen 39A(1), Seksyen 39C dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

“Sebanyak 81.12 kilogram (kg) dan 1,433 liter dadah pelbagai jenis yang boleh digunakan 78,014 penagih yang dianggarkan bernilai RM294,029 turut dirampas,” katanya dalam kenyataan di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, Noorsiah berkata, tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988.

Jelas beliau, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik turut menyita pelbagai aset yang dianggarkan bernilai RM892,681.97 termasuk selaras senapang berserta 14 butir peluru hidup.

“Sejak Januari lalu hingga semalam, seramai 24,533 individu ditahan atas pelbagai kesalahan dadah dalam Op Tapis Khas selain 2,059.69kg dan 3,963.32 liter pelbagai jenis dadah bernilai RM16,215,500.44 dirampas,” ujarnya. –UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN