PUTRAJAYA: Kementerian Luar memberi jaminan bahawa pihaknya sentiasa prihatin dengan nasib lebih 2,500 banduan Malaysia yang berada dalam penjara seluruh dunia.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menegaskan, Wisma Putra turut memantau aspek kebajikan tahanan terbabit yang menghuni kira-kira 40 buah penjara di luar negara.
“Saya sendiri semalam bertemu Menteri Kewangan (Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz) bincang amat dalam mengenai isu banduan ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, beliau membentangkan Kad Laporan Setahun Kementerian Luar bersempena genap setahun dilantik ke jawatan itu dalam jemaah Kabinet Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ahli Parlimen Indera Mahkota itu mengambil alih Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, namun beliau pernah menjadi menteri luar ketika era Pakatan Harapan selama 22 bulan lalu.
Utusan Malaysia pada awal tahun lepas ada melaporkan rayuan ahli kumpulan band muzik tempatan Fotograf, Sham Ahmad mengenai isu banduan Malaysia di penjara negara asing.
Ia susulan banyak kes tahanan terutama beragama Islam tidak dilayan sewajarnya terutama aspek makanan halal dan ibadah harian selain kurang dikunjungi wakil dari kedutaan sendiri.
Dia yang lebih dikenali sebagai Ringgo dan pernah menjadi banduan di Venezuela berkata, Jabatan Penjara juga wajar memanfaatkan Akta Pemindahan Antarabangsa Banduan 2012.
Mengulas lanjut, Saifuddin menjelaskan bahawa, isu tahanan rakyat Malaysia di luar negara akan dijadikan antara lima tumpuan utama gerak kerja oleh Wisma Putra pada tahun depan.
“Saya bahkan mengadu kepada Menteri Kewangan kerana kerja konsular amat dekat dengan rakyat kita yang ada masalah di luar negara tetapi Wisma Putra tidak cukup dana,” katanya
Justeru, beliau berharap menerusi pembangunan sistem e-Konsular versi 3.0 kelak akan dapat memudahkan Wisma Putra dalam memberikan perkhidmatan lebih pantas dan berkesan.
Inisiatif jangka panjang itu, ujarnya, bakal melancarkan pengurusan dokumentasi rasmi warga Malaysia di seluruh dunia seperti surat pengesahan kematian untuk proses pengebumian.
Turut dijadikan tumpuan kementerian itu tahun depan ialah penambahan bilangan wanita dalam pelbagai jawatan penting termasuk diplomat di bawah agenda kesaksamaan gender.
Tidak ketinggalan, ujar Saifuddin, pembangunan sumber manusia dengan pengwujudan ramai pakar bidang tertentu, bahkan, boleh dijadikan rujukan sehingga ke peringkat antarabangsa.
Begitu juga penubuhan Jabatan Diplomasi Bahasa dan Kebudayaan yang tidak sahaja akan mempromosikan bahasa Melayu, malah warisan seni budaya negara ke persada sejagat.
Pada masa sama, Wisma Putra juga merancang rasionalisasi organisasi dengan penyusunan semula perjawatan dan bilangan kedutaan di seluruh dunia selaras cabaran global semasa. –UTUSAN