SIK: Kerjasama Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) yang terjalin antara beberapa parti sebelum ini diyakini boleh menjadi ramuan kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ketua Dewan Muslimat Pas, Senator Nuridah Mohd. Salleh berkata, agenda perpaduan ummah adalah agenda Islam dan ia bukan milik sesebuah parti atau agenda suka-suka oleh mana-mana pihak.
“Kita menyedari banyaknya halangan bagi merealisasikan agenda ini. Ramai yang tidak memahami kepentingan dan tentu sekali musuh tidak suka dan tidak meredhai Penyatuan Ummah ini.
“Kemanisan dalam MN dan PN yang telah dilalui dalam beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK), Pilihan Raya Negeri (PRN) dan pelbagai program kemasyarakatan. Kita meyakini agenda ini adalah katalis kemenangan dalam PRU15 nanti,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Perasmian Muktamar Dewan Muslimat Pas ke-62 di sini.
Menurut beliau, Dewan Muslimat Pas yang memilih tema ‘Penyatuan Ummah, Menuju Kemenangan’ pada muktamar kali ini bertujuan untuk memberi peringatan kepada mereka yang bercita-cita menggapai kemenangan dalam pilihan raya.
“(Tema ini) sebagai satu peringatan penting kepada seluruh pendukung kebenaran yang bercita-cita untuk mencapai kemenangan terdekat iaitu menerusi PRU15 dan juga kemenangan
hakiki di sisi Allah dengan mendapat keredhaan-Nya dalam setiap kerja kita.
“Insya-Allah berkat penyatuan ummah, kita boleh meraih kemenangan dalam PRU15. Dengan tema ini, Dewan Muslimat Pas ingin menegaskan berkenaan keseriusan untuk menang dengan usaha-usaha ini untuk membawa Islam berdaulat ke persada Negara,” katanya.- UTUSAN










