PETALING JAYA: Ketika ini bukan masa yang sesuai untuk Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menekan ‘butang’ menarik sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Jika tindakan itu diambil, ia hanya merugikan PN sendiri yang ketika ini agak terumbang-ambing termasuk masih tercari-cari rakan sekutu yang kuat untuk berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik, Prof. Dr. Azmi Hassan berkata, PN juga dilihat tidak bersedia dan kritikan Muhyiddin ke atas Ismail Sabri baru-baru bukan isyarat parti tersebut mahu PRU15 disegerakan.
“Jika diikutkan perkembangan semasa tarikh PRU15, PN nampaknya akan bergerak solo kerana Pakatan Harapan (PH) sendiri telah menolak lamaran mereka. Jika kata Muhyiddin mahu tekan butang sekaran, itu tidak logik.
“Jika PN bergerak solo pada PRU15, itu tidak baik buat mereka. Kita lihat apa yang terjadi kepada pada Pilihan Raya Kecil (PRN) Melaka dan Johor, mereka kalah besar. Sekarang mereka ada berapa parti sahaja dalam PN.
“Tambahan pula satu rakan gabungan mereka ketika ini iaitu Pas masih dalam tanda tanya untuk sertai gabungan mana, jadi boleh dikatakan PN memang dalam keadaan tidak bersedia,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau diminta mengulas tindakan Muhyiddin yang sebelum ini mengkritik pentadbiran Ismail Sabri dengan mengatakan Perdana Menteri gagal menguruskan ekonomi negara dengan baik.
Kritikan itu mengundang reaksi perlbagai pihak termasuk Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki melontarkan cabaran kepada Muhyiddin supaya menekan ‘butang’ (tarik sokongan) sekiranya mahu PRU15 diadakan segera.
Pada PRN Johor lalu, PN mencatatkan prestasi buruk apabila hanya memenangi tiga daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi dan PRN Melaka mereka menang dua daripada 28 kerusi DUN.
Dalam pada itu, penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Kartini Aboo Talib berpendapat, jika Muhyiddin menarik sokongan terhadap Perdana Menteri sekarang, ia akan mengundang kemarahan rakyat.
“Jika PN tarik sokongan ia tidak akan menguntungkan mereka. Rakyat akan marah dan melihat mereka rakus kuasa. Walaupun keadaan inflasi negara berada dalam terkawal, rakyat tetap mahukan kestabilan sehingga PRU15,” katanya. – UTUSAN










