Misi mustahil Pakatan Harapan untuk tawan Terengganu?

Misi mustahil Pakatan Harapan untuk tawan Terengganu?

pakatan harapan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Pakatan Harapan (PH) terpaksa bekerja keras dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk menawan Terengganu.

Ini berikutan peluang PH menggabungkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) bagi memenangi mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri serta Parlimen di negeri ini dilihat tipis.

Keadaan tersebut berlaku apabila pengundi di negeri ini menolak parti itu, sebaliknya memberi sokongan kepada dua parti terbesar orang Melayu iaitu UMNO dan Pas sahaja.

Sejak awal penubuhan, PH didapati sukar bertapak kukuh di negeri ini apabila parti itu tewas di semua 32 kerusi DUN dan lapan kerusi Parlimen yang ditandingi dalam PRU14.

Malah PH dikatakan akan mengalami kekalahan yang sama, malah lebih ramai calon dijangka kehilangan deposit sekiranya bertanding lagi di negeri itu pada PRU15 depan.

Pada PRU14, seramai 19 calonnya yang bertanding di kerusi DUN dan tiga calon Parlimen hilang deposit.

Sebaliknya daripada 32 kerusi DUN yang ditandingi di Terengganu, Pas memenangi 22 kerusi manakala 10 kerusi lagi ditawan BN manakala Pas juga memenangi enam kerusi Parlimen dan masing-masing satu kerusi ditawan oleh UMNO serta Bersatu.

PH juga sukar untuk menebusi kubu kuat UMNO dan Pas kerana tidak mempunyai jentara pilihan raya yang ramai dan padu.

Pada masa sama, calon-calon yang diketengahkan oleh PKR dan Amanah pula hanya dikenali kelompok kecil dalam kalangan pengundi tempatan.

Selain itu, kemenangan Rafizi Ramli sebagai Timbalan Presiden PKR yang sebelum ini dikatakan mampu meningkat sokongan juga dilihat tidak mampu memberi harapan baharu kepada komponen PH untuk menawan Terengganu.

Sementara itu, Presiden Amanah, Datuk Mohamad Sabu sebelum ini pula mengakui ramai pemimpin dan ahli Amanah kecewa kerana kesukaran melebarkan sayap di Pantai Timur termasuk Terengganu.

Bagaimanapun, Mohamad meminta pemimpin dan ahli Amanah bersabar dan terus bersikap kental walaupun sokongan diterima parti itu di Pantai Timur masih ketinggalan.

Part-parti kecil lain seperti Gabungan Tanah Air (GTA) yang ditubuhkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad juga sukar mendapat sokongan di Terengganu.

Pengundi menganggap kehadiran parti-parti kecil itu sebagai ‘kacau daun’ sahaja. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN