KUALA SELANGOR: Lapan projek perumahan ‘sakit’ atau terbengkalai di Selangor sudah dikenal pasti untuk diberi perhatian serius dan ditangani segera.
Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Rodziah Ismail berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor meluluskan peruntukan sebanyak RM4.1 juta bagi membantu menyelesaikan isu projek perumahan terbengkalai itu tahun lalu.
“Dua daripada projek itu sudah diselesaikan manakala enam lagi sedang dibaik pulih. Pemerhatian kita mendapati projek ‘sakit’ itu antaranya terlalu lama untuk disiapkan sejak tahun 1994 dan 1996.
“Justeru, kita mahu isu itu diselesaikan segera dan akan melaksanakannya secara berperingkat,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Kos Rendah Projek Taman Sungai Yu Indah, Tanjong Karang di sini, petang tadi.
Penyerahan simbolik kepada 10 pemilik rumah itu disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.
Jelas Rodziah, statistik menunjukkan sebanyak 169 projek perumahan di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) masih terbengkalai di negeri ini.
“Jumlah itu meliputi 49 projek di bawah projek perumahan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
“Sebanyak 104 projek pula diklasifikasikan sebagai terbiar manakala 25 lagi mengalami masalah infrastruktur,” ujarnya.
Tambah beliau, isu rumah terbengkalai melibatkan beberapa faktor antaranya masalah terbiar, isu tanah, kes mahkamah dan penukaran komponen pembangunan.
“Tindakan sewajarnya sedang diambil kerajaan negeri bagi memastikan masalah itu dapat diselesaikan. Kita mahu semua projek pembangunan perumahan berkenaan tidak terus tergendala,” tegasnya.










