Kilang, industri sasar kawasan hilir sungai - Utusan Malaysia

Kilang, industri sasar kawasan hilir sungai

S. Piarapakaran
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semua kerajaan negeri perlu memberi tumpuan terhadap lambakan kilang industri dan aktiviti ekonomi di kawasan hilir sungai utama yang menjadi lokasi penyimpanan atau Loji Rawatan Air (LRA),

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (Awer), S. Piarapakaran berkata, tindakan tegas perlu diambil bagi mengelak sumber air negara terus terjejas dengan pencemaran.

Beliau berkata, semua pihak perlu mengambil inisiatif membendungnya termasuk badan yang bertanggungjawab meluluskan pembukaan kawasan perindustrian, terutama berkaitan status guna tanah yang meragukan.

“Loji (LRA) untuk beberapa kawasan sekarang berada dekat dengan kawasan hilir sungai dan rancangan pembinaan baharu juga di kawasan tersebut. Sekarang, sepanjang kawasan itu sudah banyak aktiviti ekonomi dan industri.

“Apabila ada kilang perindustrian, kita khuatir berlaku pencemaran kepada sumber air. Kita juga curiga tentang status guna tanah di kawasan berkenaan kerana ada yang berstatus tanah pertanian tetapi dibina kilang plastik dan lain-lain.

“Setiap kerajaan negeri kena main peranan dan ambil tindakan. Situasi ini bukan sahaja menganggu kualiti air tetapi turut menjejaskan pelbagai spesies hidupan serta rantaian makanan manusia,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau mengulas mengenai jangkaan kira-kira 50 peratus daripada 32.7 juta penduduk negara ini berisiko berdepan masalah bekalan air ekoran pencemaran sungai di Malaysia ketika ini berada pada tahap yang sangat serius kesan pelepasan pelbagai sisa industri.

Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) Damien Thanam Divean dilaporkan berkata, pencemaran sungai yang menjadi sumber air sangat serius dan ia berlaku di seluruh negara bermula di hulu sungai hinggalah ke kawasan bandar.

Piarapakaran berharap Akta Kualiti Air Minuman dapat diperkenal dalam masa terdekat bagi memperkukuh perlindungan terhadap ancaman kesihatan akibat air minum yang tidak selamat.

“Sudah tiba masanya keselamatan sumber air diberikan perhatian serius dan saya berharap Kementerian Kesihatan dapat laksanakan Akta Kualiti Air Minuman dan bawa ke Parlimen. Melalui akta ini banyak perkara yang dapat kita kawal,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, krisis bekalan air tidak meruncing kerana margin simpanan air berada pada tahap yang cukup susulan pembinaan beberapa LRA baharu di seluruh negara selain dibantu dengan taburan hujan yang tinggi ketika ini. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN