Khairy jaguh terbaik pecah kubu DAP

Khairy jaguh terbaik pecah kubu DAP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pelawaan Pergerakan Pemuda UMNO Seremban supaya Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin untuk bertanding di Parlimen Se­remban pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bukanlah pelawaan kosong.

Jika dilihat secara realistik dan jika ia berlaku, memang ramai berpandangan, ia hanya akan ‘membunuh’ karier politik Khairy.

Ini kerana, lawan yang menantinya bukanlah sembarangan. Individu tersebut merupakan Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook.

Parlimen Seremban telah dimenangi oleh Siew Fook sejak Pilihan Raya Umum Ke-13 dan pada tahun 2018, beliau memenanginya dengan majoriti sebanyak, 30,694 undi.

Mudah cakap, setakat ini Se­remban merupakan kubu kuat buat Siew Fook yang mewakili DAP dan Pakatan Harapan (PH).

Di kesemua enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen itu juga dimenangi oleh PH termasuk Nilai, Lobak dan Temiang yang diperoleh DAP.

Rekod itu tidak bermakna tiada peluang untuk Khairy. Sebagaimana diakui oleh Siew Fook, sekiranya pertembungan dirinya dengan Khairy menjadi realiti, ia akan menjadi kerusi yang paling ‘panas’.

Ia memberi makna, Siew Fook mengakui Khairy bakal memberikan kesulitan yang bukan sedikit buat dirinya.

PENGUNDI

Berdasarkan situasi semasa, pengundi Melayu dilaporkan mencecah 54 peratus daripada keseluruhan jumlah mereka yang layak mengundi nanti di Parlimen berkenaan.

Jumlah majoriti tersebut mungkin memberikan kelebihan buat Khairy. Ia ditambah dengan pe­nerimaan pengundi bukan Melayu yang dilihat agak terbuka terhadap beliau.

Ia berdasarkan personaliti dan keupayaannya yang terbukti terutama sebagai menteri ketika ini.

Secara tradisinya, kerusi Se­remban ditandingi oleh MCA yang mewakili Barisan Nasional (BN). Namun parti itu tewas sejak 2008. Justeru, ada desakan kali ini supaya UMNO mencuba nasib. Harapan mereka letakkan kepada Khairy.

Menurut pemerhati politik, jika BN mahu mencipta kejutan di Se­remban, individu tersebut adalah Khairy, dia mampu memecahkan kubu DAP di situ.

Khairy disifatkan ramai pihak sebagai pemimpin masa hadapan dan aset buat UMNO. Beliau dihormati bukan sahaja kawan malah lawan apatah lagi dengan prestasi baiknya sebagai menteri.

Kehadiran ramai pengundi muda pada PRU15 selain pengundi-pengundi bukan Melayu yang dilihat terbuka penerimaan mereka terhadap Khairy dilihat faktor yang boleh membantu.

Namun, nama Khairy juga di­sebut-sebut untuk bertanding di Parlimen Tampin atau Port Dickson. Walaupun di mana pun, bekas Ketua Pemuda UMNO itu perlu dipastikan kekal berada dalam barisan calon Barisan Nasional (BN) mengambil kira kesetiaannya selama ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN