KDNK suku ketiga kukuh, unjuran positif ekonomi negara - Utusan Malaysia

KDNK suku ketiga kukuh, unjuran positif ekonomi negara

TENGKU Zafrul Tengku Abdul Aziz meninjau kiosk dan beramah mesra dengan pengunjung Karnival Gegar Kerjaya di Stadium Utama Kuala Selangor hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Ekonomi Malaysia diunjurkan terus mengukuh berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku ketiga tahun ini yang menunjukkan pertumbuhan positif berdasarkan beberapa petunjuk.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, unjuran tersebut turut dipengaruhi kadar pengangguran yang terus  menurun  kepada 3.7 peratus pada Julai, berbanding 3.8 peratus sebelum itu.

“Ini  selari dengan pertumbuhan ekonomi yang masih lagi menunjukkan pertumbuhan positif. Umum mengetahui kadar inflasi Malaysia  juga masih rendah berbanding negara lain biarpun ada sedikit peningkatan. Unjuran kita pada tahun depan turut bergantung kepada keadaan ekonomi global.

“Seperti yang kita sedia maklum, pertumbuhan KDNK pada suku kedua 2022 menunjukkan pertumbuhan cemerlang iaitu 8.9 peratus berbanding unjuran sebelum ini,” kata beliau ditemui selepas merasmikan Karnival Gegar Kerjaya di Stadium Utama Kuala Selangor, hari ini.

Dalam karnival  dua hari itu, sebanyak 1,000 peluang pekerjaan daripada 30 syarikat ditawarkan terutamanya kepada golongan belia dan graduan tempatan.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, kerajaan akan terus menumpukan empat fokus utama yang melibatkan kepentingan rakyat, perniagaan, ekonomi dan penyampaian perkhidmatan yang semestinya tertumpu kepada kumpulan B40 sebagai persediaan berdepan cabaran getir ekonomi tahun depan.

“Keperluan golongan itu akan diteruskan terutama dalam menghadapi isu kos sara hidup tinggi akibat kadar inflasi, gangguan bekalan atau rantai makanan dan geopolitik.

“Jadi, kita akan terus memberi fokus menyalurkan bantuan kepada B40 bagi jangka masa pendek, sederhana dan panjang,” ujarnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN