Jadikan 4 juta hektar tanah terbiar ladang hutan

Jadikan 4 juta hektar tanah terbiar ladang hutan

Kerajaan perlu menjadikan lebih empat juta hektar tanah terbiar la­dang hutan sebagai langkah mengatasi masalah hutan-hutan simpan yang semakin mengecil akibat terus diteroka. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu menjadikan lebih empat juta hektar tanah terbiar la­dang hutan sebagai langkah mengatasi masalah hutan-hutan simpan yang semakin mengecil akibat terus diteroka.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhuta­nan Malaysia (FRIM), Tan Sri Dr. Salleh Mohd Nor. berkata, usaha tersebut boleh diteruskan oleh syarikat swasta sebagai pihak yang menguruskan ladang hutan.

“Saya sudah mencadangkan sejak dahulu lagi, supaya tanah- tanah terbiar ini dijadikan ladang hutan. Diberikan kepada pihak swasta untuk mengurus dan menanam pokok-pokok hutan yang cepat tumbuh,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurut Salleh, usaha tersebut dapat memulihara hutan asli yang ditebang selain memenuhi keperluan kayu negara kerana ia boleh dituai dalam jangka masa kurang lima tahun.

“Ini boleh dijadikan sebagai satu amalan komersial, tidak perlu kerajaan beri duit dan sebagainya sungguhpun Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) ada memberi dana.

“Tetapi jika kita lihat secara keseluruhannya, negara kita amat kaya dengan cuaca dan tanah pada umumnya subur. Jika kita tanam pokok-pokok di kawasan yang sesuai, boleh menghasilkan pokok-pokok untuk memenuhi keperluan kayu negara dan juga eksport,” ujar­nya.

Terdahulu, akhbar ini mela­porkan, aktiviti penerokaan di hutan-hutan negara semakin membimbangkan apabila ia semakin pesat dilakukan sehingga mendatangkan bencana kepada penduduk setempat.

Sebagai contoh, Hutan Simpan Kekal Bukit Cerakah (HSKBC) di Selangor semakin mengecil apabila sudah 22 kali dinyahwarta sejak 1924 dengan keluasan kali terakhir dilaporkan adalah 2,601.319 hektar tetapi kini dipercayai hanya berbaki 2,139 hektar.

Mengulas lanjut, Salleh berkata, hutan asli negara perlu terus dipelihara supaya tidak menjejaskan sumber lain se­perti sumber air dan sumber kepelbagaian biologi.

“Hutan asli harus terus dipelihara, ini untuk menjaga sumber air kita juga. Air pada masa ini sudah menjadi satu sumber yang sangat mahal dan penting.

“Di peringkat antarabangsa, sudah diramalkan perang du­nia ketiga akan berasal daripada keperluan air,’’ katanya.

Beliau berkata, hutan asli juga menjadi sumber kepada kepelbagaian biologi dan dalam konvensyen antarabangsa mengenai biodiversiti tersebut, negara harus memelihara kepelbagaian biologi ini kerana ia adalah satu daripada dua mega biodiversiti di dunia.

“Jika ia hilang, seakan-akan kita membakar perpustakaan tanpa membaca buku-buku yang ada. Dalam kepelbagaian biologi ni ada banyak potensi hasil yang boleh dituai melalui penyelidikan. Mungkin ubat-ubatan untuk kanser dan sebagainya,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×