Jabatan Kesihatan siap sedia hadapi banjir, lakukan kawalan

Jabatan Kesihatan siap sedia hadapi banjir, lakukan kawalan penyakit berjangkit

ISMUNI Bohari (kiri) menyaksikan Teh Chai Aan (dua dari kiri) melancarkan JKNP Program Kesedaran Keselamatan Pesakit Sedunia 2022 Peringkat Negeri Perlis di Denai Larian Pengkalan Asam, Kangar, Perlis, hari ini.-UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Jabatan Kesihatan negeri bersiap sedia sepenuhnya bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana banjir susulan daripada ramalan Jabatan Meteorologi sebelum ini.

Pengarahnya, Dr. Ismuni Bohari berkata, persediaan tersebut dilakukan mengikut beberapa aspek termasuk dengan menyediakan pasukan di lokasi seperti Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi kawalan penyakit berjangkit dan persekitaran.

Katanya, walaupun persediaan bagi menghadapi Covid-19 dan banjir merupakan dua perkara berbeza, namun persiapan dalam mendepani sebarang kemungkinan telah dirancang dengan sebaiknya.

“Di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) juga kami turut melakukan persediaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan dengan proses-proses yang telah diaturkan,” katanya kepada pemberita selepas Program Kesedaran Keselamatan Pesakit Sedunia 2022 Peringkat Negeri Perlis di Denai Larian Pengkalan Asam di sini hari ini.

Program tersebut dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan negeri, Teh Chai Aan. 

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi meramalkan, negara akan berdepan hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini yang membawa kepada banjir besar pada penghujung bulan berkenaan.

Cuaca yang dialami dijangka memberi impak lebih signifikan kerana Monsun Timur Laut yang aktif pada tempoh itu, di mana risiko berlaku hujan lebat berterusan dan banjir berskala besar adalah tinggi.

Mengulas mengenai program tersebut, Ismuni berkata, pihaknya juga turut mengambil kesempatan dengan menganjurkan Hari Mini Terbuka di mana terdapat beberapa pengisian menarik seperti pameran, program kecergasan, saringan kesihatan dan pelbagai lagi.

“Tujuan program ini adalah merupakan komitmen Kementerian Kesihatan dalam memastikan keselamatan pesakit supaya perkhidmatan yang diberikan kepada mereka adalah lebih holistik,” katanya.

Dalam pada itu, Ismuni berkata, pihaknya turut mengambil kesempatan mempromosi inisiatif derma organ dalam program berkenaan bagi membangkitkan kesedaran dalam kalangan masyarakat berhubung perkara itu.

Tambah beliau, sekiranya program derma organ dapat diperkukuhkan di negeri ini, lebih ramai masyarakat di luar sana yang memerlukan dapat dibantu dalam menjaga keselamatan mereka secara bersama.

“Kita cuba untuk mendidik masyarakat memandangkan ada dalam kalangan ahli keluarga penderma tidak memahami dan gagal mengambil maklum tentang pendermaan organ ini,” katanya.

Berdasarkan statistik bagi tempoh awal tahun ini sehingga Ogos lalu, seramai 487 pengikrar derma organ telah direkodkan di negeri Perlis. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya