Hilang habitat, sumber makanan punca konflik gajah, manusia

Hilang habitat, sumber makanan punca konflik gajah, manusia

Seorang penduduk, Mohamed Ismail menunjukkan tanaman pisang yang musnah dirosakkan gajah di Kampung Sungai Peria, Kuala Krai, Kelantan. – UTUSAN/ROSMIZAN RESDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Kehilangan habitat akibat penerokaan hutan dan kekurangan sumber makanan antara punca pencerobohan gajah di kawasan pertanian serta penempatan manusia.

Walaupun sukar diatasi, ma­salah itu mampu dise­lesaikan sekiranya beberapa tindakan seperti memberikan laluan khas kepada kawanan mamalia itu bergerak bebas dalam hutan.

Pengarah Bahagian Kawasan Perlindungan, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Salman Saaban berkata, konflik manusia dan gajah berpunca daripada haiwan tersebut kehilangan habitat sehingga menyukarkan ia mencari makanan.

Katanya, sama ada disedari atau sebaliknya, kehilangan atau pemisahan habitat berlaku apabila hutan sedikit demi sedikit diteroka untuk dijadikan ladang pertanian, pembangunan hartanah selain empangan yang mengakibatkan ribuan hektar digondolkan.

“Lebih malang apabila setiap ladang yang dibuka ini akan dipagari pagar letrik atau parit gajah yang secara tidak langsung menghalang pergerakan kawanan gajah berkenaan.

“Keadaan ini menyebabkan haiwan ini terpaksa mengalihkan arah pergerakan sehingga memasuki kawasan penempatan, khususnya di pinggir hutan menyebabkan berlaku konflik dengan manusia,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Salman memberitahu, terdapat juga pemisahan habitat akibat pembinaan jalan raya yang secara langsung mengganggu pergerakan gajah oleh aliran trafik sehingga keadaan itu berbahaya kepada pengguna jalan atau haiwan itu, terutamanya waktu malam atau awal pagi.

“Jalan penyelesaian menyediakan laluan (koridor) di antara habitat gajah yang terpisah ini.

“Pihak ladang boleh mengenal pasti laluan di kawasan mereka dan merancang dengan ladang-ladang yang berhampiran untuk mengambil sebahagian tanah untuk laluan haiwan itu,” katanya.

Salman berkata, kawasan yang dipilih perlu bersambung antara satu sama lain selain ditanam pelbagai jenis tanaman makanan bagi menarik haiwan itu menggunakan koridor tersebut sebagai laluan mereka.

“Jalan penyelesaian konflik gajah dengan manusia adalah tanggungjawab bersama.

“Kita perlu mengkaji punca konflik ini berlaku dan cuba memperbaikinya mengikut pe­ranan masing-masing,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×