Diarah henti pembalakan elak Air Terjun Sungai Lasir keruh

Diarah henti pembalakan elak Air Terjun Sungai Lasir keruh

TIGA kanak-kanak menikmati Air Terjun Sungai Lasir, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu (JPNT) mengarahkan aktiviti pembalakan berhampiran Air Terjun Sungai Lasir, Tasik Ke­nyir di sini dihentikan sementara berkuat kuasa serta-merta.

Arahan itu susulan laporan Utusan Malaysia kelmarin me­ngenai kualiti Air Terjun Sungai Lasir merosot apabila airnya keruh dan berkeladak dipercayai akibat aktiviti pembalakan.

Keputusan itu dimaklumkan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Sulaiman Sulong.

Mengulas perkara itu, Sulaiman berkata, tindakan itu dibuat untuk memastikan air terjun tersebut kembali jernih.

Katanya, aktiviti pembalakan terletak kira-kira empat kilo­meter dari hulu Sungai Lasir.

“Pembalakan di kawasan itu akan dihentikan sehingga keadaan cuaca mengizinkan kembali,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penutup Program Latihan Reskill dan Upskill Ekopelancongan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli Kursus Asas Juru Padu @ Geoguide Aspiring Kenyir Geopark di Tasik Kenyir di sini, semalam.

Kelmarin, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar ketika mengulas laporan Utusan Malaysia berkata, air yang keruh di air terjun itu bukan akibat pembalakan, sebaliknya berikutan hujan lebat di kawasan itu.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, air di kawasan itu keruh dan berkeladak setelah berlaku hakisan dan runtuhan tanah di kawasan pembalakan.

“Tanah runtuh itu berlaku kerana sekarang merupakan musim hujan,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Datuk Seri Ahmad Said berkata, siasatan terperinci perlu untuk mengenal pasti punca menyebabkan air menjadi keruh dan berkeladak di air terjun tersebut.

Menurutnya, isu itu perlu diselesaikan segera kerana Tasik Kenyir adalah destinasi pelancongan terkenal Terengganu.

“Saya harap kerajaan ne­geri siasat dengan terperinci apa yang berlaku sebenarnya.

“Kita tidak mahu pelancong merungut kerana daya tarikan utama ke Tasik Kenyir adalah pelancongan alam semula jadi.

“Sekiranya benar ada aktiviti pembalakan, ia perlu dihentikan segera agar tidak terus menjadi punca kepada air yang keruh dan berkeladak itu,” katanya.

Kawasan Tasik Kenyir yang berkeluasan 260 kilometer persegi mempunyai 340 pulau itu terletak dalam kawasan Ketengah.

Dalam pada itu, Setiausaha Persatuan Pemandu pelancongan Alam Semulajadi Negeri Terengganu, Mohd. Khairul Abu Bakar berkata, aktiviti pembalakan berhampiran kawasan di tasik itu perlu dikawal.

Menurutnya, kebanyakan kawasan mempunyai khazanah alam yang berharga dan patut dipulihara sebagai tarikan pelancong. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×