Bersatu Terengganu tanding 10 kerusi DUN disandang UMNO

Bersatu Terengganu tanding 10 kerusi DUN disandang UMNO

ROSOL WAHID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu akan meletakkan calon-calonnya bertanding di 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang kini disandang oleh UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) selepas menghantar senarai nama kepada Pusat untuk dimuktamadkan.

Selain itu, Bersatu negeri turut meletakkan calonnya bertanding di dua kerusi parlimen.

Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Terengganu, Datuk Rosol Wahid berkata, semua itu telah diserahkan kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk dimuktamadkan.

“Tarikh akhir untuk menghantar senarai nama calon untuk semua kerusi itu ialah hari ini (23 September) dan semuanya telah kita sediakan.

“Tentulah calon yang kita senaraikan itu seorang individu yang berkarisma, bebas dari sebarang perlakuan jenayah dan boleh diterima penduduk setempat untuk mewakili mereka.

“Pada asasnya, perbincangan bersama Pas telah bersetuju untuk Bersatu bertanding di kesemua kerusi yang kini menjadi milik UMNO di Terengganu dan Pas akan kekal mempertahankan kerusi sedia ada,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Program Jualan Murah Keluarga Malaysia di sini hari ini.

Terengganu mempunyai 32 kerusi DUN dan lapan kerusi Parlimen. Pada PRU14 yang lalu, sebanyak 22 kerusi DUN dan enam kerusi parlimen berjaya dimenangi oleh Pas.

Sebanyak 10 kerusi DUN yang dimenangi UMNO pula ialah Kijal, Bukit Besi, Telemong, Seberang Takir, Batu Rakit, Permaisuri, Kuala Besut, Hulu Besut, Jertih dan Langkap.

Ditanya persediaan Bersatu Terengganu dalam PRU15 kali ini, Rosol berkata, semua parti di bawah PN akan bekerjasama untuk memastikan kemenangan yang cemerlang seterusnya menawarkan khidmat terbaik membantu rakyat.

“Semua parti di bawah PN iaitu Bersatu, PAS, Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Gerakan mempunyai tanggungjawab yang perlu digalas untuk memastikan kemenangan dalam PRU15 kali ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN