KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan pemergian Tun S. Samy Vellu sebagai satu kehilangan besar buat negara dan memainkan peranan penting terhadap perpaduan dan menaik taraf kehidupan masyarakat India.
“Kita kehilangan seorang pemimpin yang hebat. Beliau adalah bapa penyatuan masyarakat India,” katanya ketika menemui pemberita di Universiti Pertahanan Negara Malaysia (UPNM) hari ini.
Perdana Menteri turut memberikan penghormatan terakhir ke atas mendiang di kediamannya di Jalan Ipoh di sini.
Samy Vellu yang juga belas Menteri Kerja Raya itu menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 86 tahun di kediamannya di ibu negara kerana sakit tua sekitar 3.30 pagi semalam.
GENERASI BAHARU
Sementara itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, generasi baharu perlu sentiasa mengingati sumbangan Samy Vellu kerana sudah menyumbang dalam pembangunan komuniti India mahupun negara.
Kata beliau, tanpa sumbangan mendiang, generasi baharu tidak akan merasa apa yang dikecapi pada masa ini.
“Satu kehilangan besar bagi saya. Secara peribadi saya mengenali Tun (Samy Vellu) semasa arwah saya (Tun Hussein Onn) jadi Perdana Menteri sehingga saya dalam Kabinet bersama-sama mendiang.
“Apa yang kita warisi hari ini datangnya daripada pejuang-pejuang seperti Tun Samy Vellu. Kita generasi hari tidak perlu dan tak harus lupa sumbangannya pada pembinaan negara dan bangsa,” katanya semasa ditemui di kediaman mendiang, di sini.
Hishamuddin berharap keluarga Samy Vellu untuk sentiasa bersabar dalam menghadapi dugaan kehilangan ini.
“Saya harap keluarga Tun (Samy Vellu) tabah berdepan ujian dan terus bersemangat seperti yang dikehendaki Tun sendiri,” katanya.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menerusi Facebook turut mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang.
“Pemergian mendiang satu kehilangan besar buat masyarakat dan negara. Jasa dan pengorbanan mendiang selama menjadi Presiden MIC serta menteri Kabinet akan terus dikenang. Semoga rohnya dicucuri rahmat.
“Justeru sumbangan beliau kepada negara dan masyarakat India akan kekal dalam ingat kami,” katanya.
Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berkata, beliau bersama pemimpin-pemimpin daripada partinya akan merindui Samy Vellu sebagai antara tokoh politik negara.
Menurut beliau, mendiang pernah memintanya untuk menaikkan isu mengenai komuniti India di parlimen supaya Samy Vellu dapat memperoleh peruntukan untuk komuniti tersebut.
“Saya datang untuk mengucapkan takziah kepada keluarga Tun (Samy Vellu) dan juga menyampaikan selamat tinggal terakhir kepada pemimpin yang mempunyai semangat juang tinggi dan banyak berjasa kepada negara.
“Saya perlu akui perkara itu walaupun terdapat perbezaan ideologi politik antara kami. Imbas kembali, dahulu dia pernah minta saya bangkitkan isu komuniti India di Parlimen dan dia gunakan perkara itu untuk meminta peruntukan untuk masyarakat India,” katanya semasa ditemui di kediaman mendiang, di sini.
ANUGERAH
Perdana Menteri India, Narendra Modi turut bersedih dengan pemergian Samy Vellu, rakyat Malaysia pertama menerima Anugerah Pravasi Bharatiya Samman.
“Takziah untuk ahli keluarga,’’ ciap beliau dalam Twitter semalam.
Samy Vellu adalah antara menteri Kabinet paling lama berkhidmat, iaitu selama 29 tahun.
Beliau dilantik sebagai Menteri Kerja Raya dari 1983 hingga 1989 dan 1995 hingga 2008, selain menjadi Ahli Parlimen Sungai Siput bermula 1974 hingga 2008.
Mendiang pernah berkhidmat sebagai anggota pentadbiran Persekutuan di bawah tiga Perdana Menteri iaitu Tun Hussein Onn, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Badawi dari 1978 hingga 2008. Mendiang juga pernah dilantik sebagai Utusan Khas bertaraf menyeri ke India dan Selatan Asia pada 2010 hingga 2018.
Beliau mula menceburi bidang politik pada usia 23 tahun pada 1959 apabila dia menyertai MIC cawangan Batu Caves dan menerajui MIC selama 31 tahun bermula 1979 hingga 2010.
Antara sumbangan besar mendiang terutama kepada masyarakat India adalah mewujudkan Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED), Universiti AIMST dan Kolej Tafe.
Upacara pembakaran mayat dijadualkan berlangsung pada jam 4 petang hari ini di Jalan Kuari, Cheras. – UTUSAN










