Bantuan RM360,000 kepada petani terjejas hasil di Perlis -

Bantuan RM360,000 kepada petani terjejas hasil di Perlis

AZLAN Man (dua dari kiri) bersalaman dengan salah seorang penerima anugerah sewaktu perasmian HPPNPs di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar, Perlis, hari ini.- UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerajaan negeri menyalurkan peruntukan berjumlah RM360,000 kepada petani yang terjejas hasil padi berikutan masalah tanah jerlus yang menyebabkan mereka tidak dapat menuai hasil tanaman.

Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, bagaimanapun, kerajaan negeri masih sedang meneliti bentuk bantuan terbaik yang akan disampaikan menerusi peruntukan berkenaan.

Katanya, Perlis turut meminta sokongan daripada Kerajaan Persekutuan bagi membantu para petani yang terjejas hasil padi berikutan daripada masalah itu.

“Kita juga sedang meneliti buat masa ini kemungkinan di mana petani akan berdepan masalah lagi susulan amaran dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi yang meramalkan hujan berterusan di seluruh negara pada November nanti,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Perlis (HPPNPs) di Stadium Tuanku Syed Putra di sini hari ini.

Azlan berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai persediaan kerajaan negeri membantu golongan petani susulan daripada amaran hujan berterusan dikeluarkan tersebut.

Mengulas lanjut, Azlan berkata, pihaknya juga akan meminta nasihat Jabatan Pertanian dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) berhubung keperluan melaksanakan penjadualan semula penaburan benih padi yang kebiasaan dibuat pada bulan November.

“Hujan lebat berterusan itu dijangka berlaku pada bulan November dan ketika itu petani menabur benih padi. Jadi, kalau kemungkinan hujan lebat sehingga air melimpah maka benih yang ditabur itu akan turut dihanyutkan dan kita tak mahu petani rugi dua kali,” katanya.

Tambahnya, perancangan bersama pihak berkaitan akan memudahkan kerajaan negeri merangka perancangan bagi menangani permasalahan itu dengan sebaiknya.

“Buat masa ini, kita beri input dahulu kepada petani tentang kemungkinan yang akan berlaku susulan amaran dikeluarkan Jabatan Meteorologi tersebut,” katanya.

Jabatan Meteorologi sebelum ini meramalkan negara akan berdepan hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini yang membawa kepada banjir besar pada penghujung bulan berkenaan.

Cuaca yang dialami dijangka memberi impak lebih signifikan kerana Monsun Timur Laut yang aktif pada tempoh itu, di mana risiko berlaku hujan lebat berterusan dan banjir berskala besar adalah tinggi. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN