'Aset pertahanan negara sudah lapuk’

‘Aset pertahanan negara sudah lapuk’

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kesiapsiagaan aset-aset ketenteraan untuk menjaga kedaulatan ketika ini diragui kerana kebanyakannya sudah berusia dan ada yang sudah ‘setengah mati’.

Keadaan berkenaan meletakkan negara dalam keadaan sa­ngat bahaya sekiranya berlaku sesuatu perkara di luar jangka sekali gus menggugat usaha untuk mempertahankan negara daripada musuh.

Ketika ini, Malaysia memerlukan segala aset-aset pertahanan yang serba canggih dan bersesuaian dengan peredaran semasa kerana pemilikan aset yang berkualiti juga memboleh­kan Malaysia dipandang tinggi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral (B) Datuk Masood Zainal Abidin berkata, masalah aset ‘lapuk’ dalam pasukan pertahanan sudah berlarutan agak lama iaitu semenjak beliau masih berkhidmat 14 tahun lalu.

PERUNTUKAN

Menurutnya, masalah berke­naan berpunca daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak mendapat peruntukan sewajarnya daripada kerajaan, seolah-olah negara tidak memen­tingkan aspek pertahanan bagi menjaga kedaulatan negara.

“Dalam soal aset ini, kita sebenarnya berdepan masalah peruntukan. Apa yang diberikan kerajaan sebelum ini tidak cukup dan apa yang menyedih­kan de­ngan kekangan perbelanjaan, kita hanya mampu membeli aset yang teknologinya sudah lapuk.

“Bayangkan kita masih guna kereta kebal dan kenderaan tempur berperisai yang lama, saya sendiri sudah bersara hampir 14 tahun. Apa yang pastinya, apabila guna barang lama, kita terpaksa tanggung kos selenggara yang tinggi,” katanya.

Masood berharap sistem pemerolehan aset-aset ketentera­an dibuat dengan betul tanpa membelakangkan ATM.

“Mungkin kita tidak mampu untuk beli yang ‘top’ macam Singapura tetapi, ia melibatkan ‘insurans negara’ yang perlu diberikan keutamaan pada masa hadapan,” katanya.

Dalam pada itu, bekas Pang­lima Medan Tentera Darat, Leftenan Jeneral (B) Datuk Seri Zaini Mohd. Said beranggapan aset pertahanan negara ketika ini memadai namun, agak ketinggalan jika dibandingkan dengan negara-negara jiran seperti Si­ngapura dan lain-lain.

“Pada saya, sekarang sudah mencukupi (aset pertahanan) ji­ka difikirkan keadaan semasa. Kalau nak cakap cukup, memang aset tidak pernah cukup terutamanya semasa perang. Ada kebenaran jika nak kata aset kita lapuk, lebih tepat kita ketinggalan.

“Aset-aset yang kita dapat juga banyak yang harganya murah. Bila murah, ada risiko yang perlu ditanggung misalnya, tidak solid dan kemungkinan perlu mengeluarkan kos tinggi untuk penyelenggaraan.

“Kita kena akui, kos untuk jaga aset ini sangat tinggi namun, ia memuaskan untuk keadaan semasa. Sekarang kita kena kuasai teknologi dan ada pasukan penyiasatan yang terbaik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN