fbpx

Anwar kemuka usul bincang kenaikan harga barang, kejatuhan ringgit

ANWAR IBRAHIM

KUALA LUMPUR: Isu kenaikan harga barang dan kejatuhan nilai ringgit perlu dibahaskan dalam Persidangan Parlimen Ke-14 yang akan bermula Isnin ini.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengemukakan usul berkaitan kedua-dua isu itu kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.

“Saya telah mengemukakan satu usul kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) dan 18 (2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Bahawa Dewan yang bersidang membincangkan permasalahan ekonomi yang melibatkan krisis kenaikan harga barang dan kejatuhan parah mata wang negara yang telah menjejaskan kehidupan rakyat dan isu inimemberi kesan kepada rakyat dan negara,” kata Anwar menerusi kenyataan di Facebook beliau hari ini.

Menurut beliau,  tumpuan terhadap kedua-dua isu itu perlu disegerakan kerana kedua-dua permasalahan tersebut memberi impak besar kepada rakyat.

“Kenaikan harga barang yang mendadak dan kejatuhan nilai mata wang negara terkini memberi kesan terus kepada rakyat baik secara jangka pendek atau jangka panjang.

“Saya berharap usul ini mendapat pertimbangan sewajarnya daripada Yang di-Pertua Dewan Rakyat,” katanya.

Pada akhir Jun lalu, Jemaah Menteri  bersetuju menubuhkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi bagi membantu rakyat Malaysia yang menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pasukan khas itu berperanan mengumpulkan semua maklumat daripada kementerian, agensi dan orang ramai bagi merangka strategi serta mengkoordinasi tindakan menyelesaikan serta mengawal kenaikan harga barang dengan lebih efisien dan berkesan.- UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN