PUTRAJAYA: Seramai tujuh individu dilantik secara pentadbiran oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai ahli panel badan pemantau bebas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa mulai 1 Julai lalu sehingga 30 Jun 2024.
Menurut kenyataan SPRM, dua daripada mereka dilantik sebagai ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) yang merupakan lantikan semula manakala empat lagi sebagai ahli PPPR baharu dan seorang lagi dilantik pada 1 April lalu.
Kesemua individu yang dilantik terdiri daripada golongan profesional serta pakar pelbagai bidang yang diyakini dapat membantu SPRM dalam mencapai matlamat mewujudkan masyarakat yang membenci rasuah di pelbagai sektor.
Ahli-ahli PPPR terdiri daripada bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Borhan Dolah sebagai Pengerusi (lantikan semula); Naib Pengerusi Eksekutif Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din; bekas Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Emeritus Datuk Dr. Asma Ismail dan Pengarah Pusat Dialog Peradaban, Universiti Malaya, Prof. Datuk Dr. Azizan Baharuddin (lantikan semula).
Turut menganggotai ialah Gabenor Institut Tabdir Urus Korporat Malaysia (MICG), Datin Yasmin Ahmad Merican; Penasihat Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod dan Pengasas dan Pengerusi Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd, Ali Hassan Mohd. Hassan.
“Antara peranan ahli PPPR ialah menasihati SPRM bagi meningkatkan keberkesanan aktiviti pemeriksaan dan perundingan terhadap amalan, sistem dan tatacara kerja di sektor awam dan swasta yang membuka ruang dan peluang perlakuan jenayah rasuah.
“Selain itu, PPPR turut berperanan menasihati SPRM bagi meningkatkan keberkesanan aktiviti pendidikan masyarakat ke arah meningkatkan kesedaran tentang jenayah rasuah dan sokongan terhadap usaha pencegahan rasuah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, SPRM berkata, PPPR juga berperanan menasihati SPRM bagi meningkatkan keberkesanan aktiviti pencegahan rasuah melalui mekanisme pengukuhan integriti dalam sektor awam dan sektor swasta.
Sementara itu, PPPR juga menasihati SPRM tentang amalan-amalan baik dalam bidang-bidang yang berkaitan dalam pelaksanaan aktiviti perundingan dan pencegahan rasuah.
PPPR juga berperanan membantu SPRM sebagai key communicator dalam meraih sokongan masyarakat, pihak media dan sektor-sektor yang dikenal pasti terhadap usaha-usaha pencegahan yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya.
“Selain itu, PPPR berperanan mengemukakan ulasannya tentang perjalanan SPRM akan fungsi perundingan dan pencegahan rasuah di bawah Akta SPRM 2009 kepada Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR),” katanya. –UTUSAN