PETALING JAYA: Pendakwah dan pakar motivasi dari Amerika Syarikat, Yasmin Mogahed ‘diterbangkan’ ke negara ini bagi sesi menghadiri ceramah tiga siri di Dewan Wawasan, Menara PGRM, Kuala Lumpur, bermula esok.
Figura terkenal itu bakal memberi kupasan mengenai bukunya, Healing the Emptiness yang mengangkat topik mengenai kepentingan menjaga kesihatan mental dan rohaniah dengan Tuhan.
Menerusi naskhah yang turut membawanya ke Brunei, Australia dan New Zealand itu, Yasmin juga memberi tips serta pesanan berkenaan kaedah untuk menyembuhkan diri daripada kedukaan dan ketakutan.
Wakil penganjur yang juga Pengasas dan Ketua Pengarah Eksekutif Faith Events, Khairul Amar Razali berkata, ketiga-tiga sesi penyampaian bertepatan dengan situasi dihadapi masyarakat dunia yang sentiasa berhadapan cabaran dan trauma.
“Kita aktif mengadakan sesi ceramah berunsur spiritual dan keagamaan sejak lima bulan lalu. Malah siri ceramah tiga hari bersama Yasmin merangkumi tiga topik penting iaitu The Divine Connection pada hari pertama, Survivors pada hari kedua dan Healing the Emptiness pada hari terakhir iaitu 2 Oktober ini.
“Matlamat program bertujuan memberi peluang kepada umat Islam dan masyarakat memahami apakah sebab datangnya ujian dan bagaimana menghadapinya dengan penuh kesabaran dan ikhlas.
”Selain itu, sesi ini turut mengenal pasti solusi, adab dan tatacara terbaik untuk mengurus kehidupan seharian kita dalam mencari kesejahteraan dalam hidup,” katanya.
Pada masa sama Khairul menyatakan ramai berharap menemui ketenangan hati dalam kehidupan, tetapi situasi di era serba kompetitif ini amat mencabar sekali gus mencipta pelbagai bentuk tekanan emosi.
“Masalah psikologi amat serius dalam masyarakat kini tidak kira siapa, mahu pun latar belakang sosial ekonomi kerana ia memberi impak kepada setiap individu terutama selepas pandemik serta fasa lockdown.
“Situasi yang dilalui selama dua tahun kebelakangan ini menambah tekanan kepada masyarakat apabila menyaksikan sebahagian besar anggota komuniti jatuh ke paras kemiskinan akibat kehilangan pekerjaan, tiada lagi ketua keluarga dan sebagainya.
“Konklusinya kita tidak akan lepas daripada berdepan cabaran, namun diharap sesi tiga hari ini mampu memberi manfaat kepada individu mahu pun insan di sekelilingnya,” katanya.
Maklumat lanjut mengenai program ini boleh diperoleh menerusi Instagram Faith Events di https://www.instagram.com/p/CiZxImbJeXU/ atau
atau LinkTree Faith Events di https://linktr.ee/faitheventsmy.
Manakala bagi pendaftaran dan pembelian tiket RM50 untuk tiket standard dan RM70 bagi tempat duduk premium, sila layari: http://faithevents.asia