368,000 unit rumah bantu rakyat miliki kediaman

368,000 unit rumah bantu rakyat miliki kediaman

REEZAL MERICAN NAINA MERICAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan memperkenal Program Pemilikan Kediaman (HOPE) selaras dengan gagasan ‘Satu Keluarga Satu Rumah’ dengan sasaran menyediakan 368,000 unit kediaman untuk rakyat.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, ia adalah agenda memperjuangkan pemilikan rumah terutama mampu milik khususnya kepada golongan B40, M40 dan golongan muda.

Untuk itu, katanya, sejumlah 368,000 unit rumah diletakkan sebagai komitmen di bawah program berkenaan dengan sebahagiannya sedang dibina dan selebihnya dalam pelbagai pe­ringkat pelaksanaan.

“Kementerian juga komited meningkatkan bekalan Rumah Mampu Milik (RMM) sebanyak 500,000 unit rumah menjelang 2025.

“Langkah pemetaan Indeks Harga Rumah Mampu Milik bagi setiap lokaliti di seluruh negara sedang dilaksanakan sebagai panduan kepada pemaju, bakal pembeli serta pihak berkuasa tempatan dalam penentuan harga rumah mampu milik yang sewajarnya di sesuatu kawasan atau lokaliti,” katanya di sini semalam.

Reezal berkata, di bawah program HOPE, kerajaan turut memperkenal inisiatif pemilikan perumahan Keluarga Malaysia (i-Miliki) melibatkan pemberian insentif pengecua­lian duti setem ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman bagi pembelian rumah pertama mengikut kadar harga rumah.

Bagi rumah berharga RM­500,000 dan ke bawah, insentif pengecualian duti setem adalah sebanyak 100 peratus manakala rumah berharga me­lebihi RM500,000 sehingga RM1 juta, insentif pengecualian sebanyak 50 peratus.

Menurut beliau, pengecua­lian berkenaan adalah bagi perjanjian jual beli yang disempurnakan dalam tempoh mulai 1 Jun lalu sehingga Disember 2023 yang diperkenal sejak Kempen Pemilikan Rumah (HOC) bermula 2019 hingga 2021.

Jelas Reezal, namun dite­ruskan bagi pembelian rumah pertama bernilai sehingga RM­500,000 sehingga 31 Disember 2025.

Untuk rekod sepanjang 2019 hingga 2021, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) merekodkan tuntutan pengecua­lian duti setem di bawah HOC adalah sebanyak RM957.8 juta dengan pengecualian duti setem paling tinggi adalah bagi harga rumah RM500,000 dan ke bawah.

Reezal turut memaklumkan, Siri Jelajah HOPE dan Karnival Jom Beli Rumah diteruskan ke Wilayah Utara pada 23 hingga 25 September ini di Dataran Dewan Milenium Kepala Batas, Pulau Pinang selepas pelancarannya pada 15 Julai lalu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pelbagai rumah mampu milik ditawarkan pemaju ternama serta pemaju tempatan untuk Keluarga Malaysia di samping inisiatif-inisiatif i-Biaya dan ­i-Miliki bagi memudahkan rakyat memiliki rumah khususnya golongan muda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×